jomPROMO ESQ-RS!!



JomKREATIF

Ibu Madrasah Pertamaku



Tuhanku......
AlhamdulilLah kerana menjadikan aku dan ibu ada di atas muka bumi ini.
Kasih sayang yang Engkau tiupkan dalam jiwa ibuku telah dicurahkan sepenuhnya kepadaku

Lalu kami membesar penuh kesempurnaan
Dalam tangan madrasah pertama anugerahMu untuk kami

Ibu madrasah pertamaku,
Izinkan aku menitipkan puisi ini
Walau ia tidak mampu menggambarkan sepenuh penghargaan kami buat mu
Apatah lagi untuk diumpamakan sebagai balasan atas segala pengorbananmu



Anggap ini duhai ibu,
sekadar secebis rasa terima kasih dan syukur diatas segala yang telah kau berikan untuk kami.

Ibu Madrasah Pertamaku,
Jari-jemari mu yang kini sudah semakin berkedut dimamah usia,
sedangkan dulunya jari jemari itulah yang membelai jejari halus ku penuh mesra.
Terkadang jari jemari itu memberikan peringatan bila kami nakal.

Bibirmu yang sentiasa tersenyum sejak dulu hingga hari ini masih tetap menyejukkan hati kami. Walaupun kadang-kadang ada kalimah tegas yang kau ucapkan bila kami melanggar suruhan.

Lalu....

Ibu Madrasah Pertamaku terus mendidik kami
Dari hari ke hari
Dari minggu ke minggu
Bulan ke bulan
Tahun ke tahun
Hingga hari ini kami sendiri menjadi seorang ibu

Ibu Madrasah Pertamaku telah mengajar aku
Tentang cinta
Tentang luka
Tentang suka
Tentang duka
Tentang bahagia
Tentang sengsara
Tentang kemanisan
Tentang kepahitan
Lalu kami dewasa dengan warna warni kehidupan

Ibu Madrasah Pertamaku tidak pernah jemu memberikan peringatan
Tentang Insan
Tentang Rasul
Tentang Tuhan
Tentang Rukun Islam
Tentang Rukun Iman
Tentang Hadis
Tentang Al-Quran
Lalu hari ini kami membesar dalam ukhuwwah dan dakwah

Terimakasih Ibu
Tanpa dirimu sebagai madrasah pertamaku
Siapalah aku

AlhamdulilLah Ibu
AlhamdulilLah Tuhanku
Doa kami akan selalu bersama Ibu
Ketika Ibu masih disisi kami atau setelah ibu dijemput disisi Ilahi

Antara kami ada yang sudah kehilangan Ibu,
yang sudah kembali kepangkuan Tuhan yang lebih Menyintaimu
Izikan kami berdoa dan menghadiahkan al-fatihah buat bonda kami yang terlebih dahulu pergi tak kembali

Untuk kami yang ibunya masih di sisi
Teruslah mendidik kami wahai ibu dengan ayat-ayat cintamu
Kerana sesungguhnya Ibu masih dan tetap Madrasah pertama kami.

Nukilan: Roha Hassan
19 November 2008

Baca Selanjutnya »»

jomSHARING

AKU PERLUKAN TUJUAN HIDUP




Soalan

Kak Roha, saya adalah seorang remaja. Masih bersekolah. Saya mohon pertolongan Kak Roha untuk memberikan tunjuk ajar kepada saya, bagaimana untuk menentukan tujuan hidup kita. Saya selalu keliru dalam memilih cita-cita. Saya juga adakalanya rasa hidup saya tidak ada tujuan. Malahan, saya juga kadang-kadang tidak mengerti kepentingan memiliki tujuan dan cita-cita dalam hidup. Apakah yang harus saya lakukan?. Mohon berikan panduan sewajarnya.

Hafizah,
Kuala Lumpur



------------------------



Jawapan

Assalamualaikum wbt

Hafizah,
Perumpamaan kehidupan tanpa arah tujuan dan haluan seperti sebuah kapal belayar di lautan. Berlegar-legar ditengah lautan tidak tahu kemana hendak dituju, bila akan berhenti, apa tujuan pelayaran, siapa yang akan mengendalikan pelayaran tersebut dan bagaimana pelayaran tersebut harus dikendalikan.

Sudah pasti kapal tersebut samada tidak bergerak kemana-mana atau berlayar tetapi sesat di tengah lautan atau tersadai di tengah-tengah lautan kehabisan minyak setelah berlegar-legar tidak tahu hendak mendarat dimana.

Begitulah juga dengan kehidupan insan. Tanpa tujuan, kita semua akan sesat. Tidak tahu ke mana hala tuju dan tidak tahu untuk apa kita hidup.

Apatah lagi untuk seorang remaja seperti Hafidzah. Amat penting untuk mengerti apa tujuan hidup di atas mukabumi ini. Sekurang-kurangnya ada tiga tujuan yang mesti kita tanamkan dalam jiwa kita.

Sekurang-kurangnya dalam hidup seorang remaja muslim, mestilah ada tiga tujuan utama. Pertamanya, tujuan jangka pendek iaitu berjaya dalam pelajaran kemudian mencapai kebahagiaan hidup di dunia. Keduanya, tujuan jangka sederhana iaitu berjaya mencapai mencapai keredhaan Allah dan akhir sekali, tujuan yang jangka panjang ialah masuk ke syurga dan bertemu Allah swt.

Setelah memahami betapa pentingnya memiliki tujuan hidup, mari kita susun bersama beberapa langkah yang boleh membantu kita membina tujuan hidup.

1. Memahami kepentingan tujuan hidup – Dimana di permulaan artikel ini kita sudah berkongsi beberapa perumpamaan dan kepentingan tujuan hidup. Maka kini, kita sudah memahami kepentingan tujuan hidup. Kita yakin sekiranya tanpa tujuan, hidup kita akan menyimpang dan sesat. Kita boleh bayangkan betapa ngerinya tersesat dalam hutan belantara yang gelap kerana kegagalan kita menentukan tujuan pengembaraan. Kita tidak mahu sama sekali tersesat pula dalam belantara kehidupan dek kegagalan kita memilih dan menentukan tujuan hidup kita. Kita mahukan hidup yang bahagia dan sejahtera. Oleh itu kita mahukan hidup yang memiliki tujuan yang baik dan benar.

2. Penentu tujuan – Sesuatu tujuan, impian atau cita-cita mestilah ditentukan oleh ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu kita tidak akan mampu mengerti dan memahami hakikat kejadian insan dan tujuan hidup kita. Ilmu bukan sahaja membantu kita menentukan tujuan hidup malah membantu kita membuat pilihan samada tujuan, impian, cita-cita yang kita pilih itu membawa kebaikan oleh keburukan. Oleh itu, timbalah ilmu sebanyak mungkin terutamanya ketika kita masih muda dan bertenaga.

3. Tujuan, impian dan cita-cita boleh bermula dengan angan-angan – Kita boleh mulakan dengan berangan-angan sebelum membina satu tujuan yang kukuh dan jiwa kita. Contohnya berangan-angan menjadi seorang wanita kaya yang beriman. Bermula dengan angan-angan kita akan mula melihat indahnya impian tersebut. Secara tidak langsung jiwa kita akan didorong ke arahnya.

4. Angan-angan mesti diterjemahkan menjadi cita-cita – Angan-angan yang mampu diterjemahkan menjadi cita-cita mampu mendorong kita bekerja ke arah cita-cita tersebut. Seperti contoh diatas, jika kita berangan-angan menjadi wanita kaya yang beriman, kita mesti pula menanamkan cita-cita menjadi ahli perniagaan yang berjaya bila kita dewasa kelak.

5. Merancang melalui cita-cita – Setelah memiliki cita-cita, kita harus mulakan dengan meneliti dan merancang langkah-langkah yang patut dilakukan kearah mencapai cita-cita tersebut. Contohnya cita-cita kita tadi, iaitu ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya mestilah dituruti dengan ilmu. Tanpa ilmu kita tidak akan mengerti bagaimana menjadi ahli perniagaan. Bagaimana pula untuk memiliki ilmu? Sudah tentu dengan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang dalam apa jua peperiksaan yang dihadapi. Disamping itu, ilmu juga boleh diperolehi secara ”informal”, melalui pembacaan atau perkongsian dengan mereka yang berjaya dan berpengalaman. Bagaimana pula menjadi insan beriman. Untuk ini, ilmu juga diperlukan. Maka keseimbangan ilmu untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya mesti diseimbangkan pula dengan ilmu yang boleh meningkatkan iman kita kepada Allah swt.

6. Cita-cita, misi dan visi – Menurut John Scuflley, Bekas CEO Syarikat Pepsi dan Apple, “Kejayaan masa depan adalah milik mereka yang dapat melihat peluang sebelum ia timbul” . Memang benar kita tidak dapat melihat cita-cita dan visi kita kerana ia adalah sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Walaubagaimanapun adalah penting untuk kita melihatnya terlebih awal dalam diri kita. Orang yang mampu membayangkan betapa indahnya cita-cita, misi dan visi yang akan dicapai. Mereka pasti mampu menggapai impian masing-masing.

7. Kompas dan peta ke arah mencapai tujuan dan matlamat hidup ialah Al-Quran dan As-sunnah. Manfaatkanlah kedua-dua sumber ini sebaik-baiknya disamping bimbingan ibubapa, adik-beradik, guru-guru, rakan-rakan yang baik serta mereka yang berjaya dan pengalaman.

~Roha Hassan~

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri