jomPROMO ESQ-RS!!



Jom HEBOH

Jom Remaja ESQ_RS - Jom Tengok Aksi Angkatan Pertama

Salam...

Inilah antara aksi-aksi menarik sepanjang ESQ_RS Angkatan Pertama yang diadakan pada 26-27 Julai 2008 di Hotel Flaminggo.







Jom Remaja ESQ_RS. Program akan datang ialah pada :
1. 19 dan 20 Ogos 2008 - Public bertempat di Hotel Flaminggo, Ampang Selangor.

2. 23 dan 24 Ogos 2008 - Jom Remaja ESQ_RS bertempat di Hotel The Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


Nurdinie Sufi


Baca Selanjutnya »»

Jom TANYA

SESI BERTANYA bersama nurdinie sufi.

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan "Kak Roha Sudi Mendengar" akhbar Sinar Harian.

Soalan

Assalamualaikum. Saya adalah seorang remaja yang cemerlang dalam pelajaran dan dididik dengan baik oleh keluarga. Saya tahu banyak perihal agama. Cuma masalahnya, saya sering teringin melakukan perbuatan yang tidak baik setiap kali saya berseorangan atau memiliki masa lapang. Dan perkara ini amat menyiksa perasaan saya. Saya amat berharap input dan panduan dari Kak Roha dalam menghadapi cabaran ini.

Gadis Aries,
Cheras



Jawapan

Waalaikummussalam wbt...

Saudari ”Gadis Aries” yang dikasihi,

Pertama sekali Kak Roha ingin mengucapkan tahniah. Kenapa ucapan tahniah? Tahniah diatas kesungguhan saudari memperbaiki diri. Mengenali dan memahami kelemahan dan kekurangan diri sendiri, bukanlah satu proses yang mudah. Hanya orang-orang yang mulia dan terpilih sahaja yang sentiasa muhasabah diri dan mencari peluang untuk memperbaiki diri.

Perasan teringin untuk melakukan kebaikan dan keburukan yang ada dalam diri manusia bukanlah sesuatu yang aneh. Peperangan antara, kebaikan dan keburukan sentiasa berlaku dalam diri manusia. Hanya manusia yang maksum sahaja yang terlindung dari keinginan untuk melakukan keburukan atau lebih mudah ditafsirkan sebagai dosa. Kak Roha tidak tahu dengan tepat keburukan yang saudari maksudkan. Jadi, Kak Roha akan masukkan ia dalam kategori umum iaitu dosa dan maksiat.

Perihal ini turut disebutkan dalam ayat-ayat Al Quran contohnya dalam surah al Syams ayat 8 bermaksud: ‘Maka Dia telah mengilhamkan setiap jiwa kejahatan dan ketaqwaan’.

Namun, perihal ini tidak pula boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk melakukan dosa dan maksiat sewenang-wenangnya. Banyak sekali ayat-ayat Allah dalam Al-Quran menjelaskan bagaimana, setiap perbuatan baik dan jahat itu akan dibalas oleh Allah swt diakhirat kelak. Didunia pula, perbuatan jahat akan memberikan kesan buruk kepada pelakunya, begitu juga sebaliknya, perbuatan baik akan membawa kebaikan kepada pelakunya.

Oleh itu saya ingin mencadangkan beberapa panduan dan perkongsian dengan saudari dengan harapan mudah-mudahan ia dapat meringankan penderitaan saudari dalam menanggung perihal ini.

Kenali Diri – Sentiasa berusaha mengenali diri dengan soalan-soalan berikut. Siapa aku? Apa tujuan hidupku? Ke mana tujuanku? Apa visi dan misi hidupku? Siapa yang menjadikan aku? Kenapa aku dijadikan? Ke mana tujuan aku selepas kematianku dan segala persoalan yang boleh menjadikan kita lebih memahami diri sendiri hendaklah sentiasa diajukan. Mengenali diri akan memudahkan kita mengawal diri sendiri.

Memperbanyakkan Mengingati Allah – Solat, zikir, membaca al-Quran serta mengerjakan solat adalah antara amalan untuk mendekatkan kita kepada Allah. Dengan mendekatkan diri kita kepada Allah, secara tidak langsung menjauhkan kita daripada hasutan dan rayuan syaitan yang merupakan musuh utama manusia.

Menyenaraikan Akibat Perbuatan Buruk Sebelum Melakukannya – Sekiranya kita memiliki waktu dan kesempatan sebelum melakukan sesuatu dosa atau maksiat. Hitung dan senaraikan dulu keburukan dan kemusnahan akibat perbuatan tersebut. Contohnya ingin mencuri. Senaraikan dulu, akibat dan kesan mencuri. Ingin menipu guru dan ibubapa, senaraikan dulu, akibat buruk dari perbuatan itu. Barangkali dengan cara ini, niat jahat itu dapat ditundukan.

Memperbanyakkan Amal Kebaikan – Sebagai seorang muslim, setiap perbuatan baik yang dikhlaskan kerana Allah serta menepati syarat yang ditetapkan merupakan ibadah. Oleh itu perbanyakkanlah amal kebaikan. Dengan cara ini, insyaAllah ia mampu mengurangkan masa kita untuk melakukan dosa dan maksiat.

Gabungkan Diri Dengan Rakan Sebaya Yang Baik – Sebagai remaja, pengaruh daripada rakan sebaya amat besar. Rakan sebaya memang mampu membawa kita kearah kebaikan atau kejahatan. Jadi pilihlah rakan yang baik demi membangunkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Jauhilah rakan yang mengajak ke jalan maksiat dan dosa agar diri kita yang lemah ini tidak tersasar.

Aktifkan Diri Dengan Aktiviti Yang Sihat – Remaja adalah golongan insan yang aktif dan sukakan cabaran. Oleh itu, selain memperbanyakkan amal kebaikan, aktiviti sukan, reakrasi, explorasi dan banyak lagi aktiviti yang disukai akan membantu remaja aktif. Keaktifan dengan aktiviti yang berfaedah membantu remaja melupakan niat melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Tingkatkan Ilmu Dari Masa Ke semasa – Ilmu sememangnya salah satu perisai dalam kita memilih antara yang baik dan salah. Tingkatkanlah ilmu dan kemahiran supaya Kecerdasan IQ, EQ dan SQ kita seimbang. Ada banyak program yang saudari boleh ikuti, antaranya program ”ESQ_Teens” yang memberikan pengisian dan ilmu kepada remaja untuk meningkatkan ilmu dan amal kita kearah menjadi insan yang memiliki sifat ihsan, menghayati keenam-enam rukun iman serta.

Baca Selanjutnya »»

Jom HEBOH

Kita Ni Special - Jom Remaja ESQ_RS Kat Penang La Pulak

Assalamualaikum kawan-kawan...

Nak habaq mai, minggu lepaih (26 & 27 Julai 2008) aku dan kawan-kawan attend, "Jom Remaja ESQ_RS". Ni depa suroh aku kongsikan pengalaman aku menghadiri program ni. Pasai next program kat Penang, aku tulih lenggok utara sikit. Hampa buleh faham kot no? Maklumlah adik beradik aku semua ramai kat Penang tau! Hi hi hi..bagi la aku "can" mengayat dalam bahasa utara sikit.

Aku ni, kalau ikutkan hati, malaih nak pergi. Tau la sabtu ahad kan? Membuta lagi baguih! Tapi bila ada kawan mak aku sponsor aku. Malu la pulak kalau aku tak pi. Kawan mak aku tu kata, "Remaja ni special. Korang ni aset negara dan pemimpin masa depan. Kena pergi program ni sebab ia boleh membantu memperbaiki diri".

Kiranya aku pi tu sebab kena "paksa rela" la. Tapi aku cuba la positifkan pemikiran aku ni. Melangkah dengan penuh kepayahan ke Flaminggo Hotel. Tapi bukan maksud aku pi jalan kaki. Mak aku la hantaq. Cuma nak habaq kata, nak pi tu punyalah susah.

Tapi...magiknya program ni. Nak pi pun rasa berat dan payah. Nak balik pun rasa macam tak mau balik la pulak. Pasai best training dia... Masa tu baru aku paham, pasai apa kawan mak aku pujuk sangat-sangat aku pi. Terima kasih Kak Roha sebab sponsor aku. Betui, aku rasa sangat penting dan istimewanya kita ni. Kita ni pemimpin masa depan. Kalau kita tak baiki diri kita dari sekarang, esok lusa tak tau la nak jadi lagu mana masyarakat kita ni.

Aku seriau sungguh tengok cerita-cerita gejala sosial yang ummi Ros, Kak Roha Raudhatus Sakinah tunjuk tu. Nauzubillah. Tak mau la aku jadi lagu tu.

Sebenaqnya, sebelum pi program ni aku selalu tinggal solat. Aku ni kira jenih baik la jugak sebetulnya. Jangan marahhhh sebab puji diri..:-) Tapi, maksiat semua aku tak berani la buat. Tapi bab ibadah solat, puasa...kerap jugak la aku tuang. Ish..ish sejak bila pula aku jujur sangat ni, dok cerita keburukan diri aku sendiri ni.

Azam aku lepaih ni, aku nak baiki ibadah aku. Aku bercita-cita nak jadi pemuda yang soleh. Aku nak jadikan pujaan aku RasululLah. Tak lain dan tak bukan sebab, "Kita ni special". Nak tau apa yang special, hampa attend la sendiri Jom Remaja ESQ_RS kat Penang pada 23 dan 24 Ogos ni, kat Hotel The Summit.

Aku nak ambik kesempatan ni nak ucap terimakasih kat abang Firdaus dan abang Faizi sebab bersungguh-sungguh mendidik kami. Begitu juga pada Kak Roha dan Ummi Ros. Juga pada semualah yang terlibat. Terima kasih banyak-banyak no...ada masa kita jumpa lagi. Wassalam.

Afiq
Alumni ESQ_RS Angkatan (1)

Baca Selanjutnya »»

JomHEBOH

Ku Santuni Anak-Anak Yatim Itu Dengan 165

Kisah ini aku coretkan buat beberapa orang teman yang telah memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit, semata-mata untuk menaja beberapa remaja dari kalangan anak-anak yatim, untuk menghadiri program ESQ_Teens dengan topik, “Jom Remaja ESQ_RS” yang akan diadakan pada 26 & 27 Julai 2008 ini.

Sebagai koordinator program. Aku yakin kalian ikhlas. Namun kuhadiahkan kisah ini sebagai ucapan terimakasih dari kami. Aku mengerti dalam kegawatan kenaikan harga barang dan pelbagai cabaran lain dalam kehidupan kita. Pengorbanan kalian amat besar dan bermakna. Hanya Allah yang berhak memberikan ganjaran sewajarnya.


Untuk teman-temanku yang masih berfikir-fikir, kemana mahu membelanjakan sebahagian dari rezekimu yang murah itu. Hayatilah kisah RasululLah SAW dengan seorang gadis kecil yang yatim.

Walaupun pada hakikatnya kisah kita dan RasululLah saw yang mulia itu, jauh sekali kalau nak dibuat perbandingan. Namun, halusnya budi dan akhlak RasululLah saw terhadap anak-anak yatim adalah sunnah yang beliau tinggalkan untuk dijadikan teladan oleh kita ummatnya.

Hayatilah kisah ini wahai diri yang mengaku cinta dan kasih pada RasululLah Saw.

“Kisah ini terjadi di Madinah pada suatu pagi di hari raya Idul Fitri. Rasulullah saw seperti biasanya mengunjungi rumah demi rumah untuk mendoakan para muslimin dan muslimah, mukminin dan mukminah agar merasa bahagia di hari raya itu. Alhamdulillah, semua terlihat merasa gembira dan bahagia, terutama anak-anak. Mereka bermain sambil berlari-lari kesana kemari dengan mengenakan pakaian hari rayanya. Namun tiba-tiba Rasulullah saw melihat di satu sudut ada seorang gadis kecil sedang duduk bersedih. Ia memakai pakaian yang bertampal-tampal dan sepatunya telah usang.

Rasulullah saw lalu bergegas menghampirinya. Gadis kecil itu menyembunyikan wajahnya dengan kedua tangannya, lalu menangis tersedu-sedu. Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang putih sewangi bunga mawar itu dengan penuh kasih sayang di atas kepala gadis kecil tersebut, lalu bertanya dengan suaranya yang lembut : “Anakku, mengapa kamu menangis? Hari ini adalah hari raya bukan?” Gadis kecil itu terkejut. Tanpa berani mengangkat kepalanya dan melihat siapa yang bertanya, perlahan-lahan ia menjawab sambil bercerita : “Pada hari raya yang suci ini semua anak menginginkan agar dapat merayakannya bersama orang tuanya dengan berbahagia. Anak-anak bermain dengan riang gembira. Aku lalu teringat pada ayahku, itu sebabnya aku menangis. Ketika itu hari raya terakhir bersamanya. Ia membelikanku sebuah gaun berwarna hijau dan sepatu baru. Waktu itu aku sangat bahagia. Lalu suatu hari ayahku pergi berperang bersama Rasulullah saw. Ia bertarung bersama Rasulullah saw bahu-membahu dan kemudian ia meninggal. Sekarang ayahku tidak ada lagi. Aku telah menjadi seorang anak yatim. Jika aku tidak menangis untuknya, lalu siapa lagi?”

Setelah Rasulullah saw mendengar cerita itu, seketika hatinya diliputi kesedihan yang mendalam. Dengan penuh kasih sayang ia membelai kepala gadis kecil itu sambil berkata: “Anakku, hapuslah air matamu… Angkatlah kepalamu dan dengarkan apa yang akan kukatakan kepadamu…. Apakah kamu ingin agar aku menjadi ayahmu? …. Dan apakah kamu juga ingin agar Fatimah menjadi kakak perempuanmu…. dan Aisyah menjadi ibumu…. Bagaimana pendapatmu tentang usul dariku ini?”

Begitu mendengar kata-kata itu, gadis kecil itu langsung berhenti menangis. Ia memandang dengan penuh takjub orang yang berada tepat di hadapannya. Masya Allah! Benar, ia adalah Rasulullah saw, orang tempat ia baru saja mencurahkan kesedihannya dan menumpahkan segala gundah di hatinya. Gadis yatim kecil itu sangat tertarik pada tawaran Rasulullah saw, namun entah mengapa dia tidak mampu mengungkapkan sepatah katapun. Ia hanya dapat menganggukkan kepalanya perlahan sebagai tanda persetujuannya. Gadis yatim kecil itu lalu bergandingan tangan dengan Rasulullah saw menuju ke rumah. Hatinya diliputi kebahagiaan yang tidak dapat dilukiskan, kerana berpeluang menggenggam tangan Rasulullah saw yang lembut seperti sutera itu.
Sesampainya di rumah, wajah dan kedua tangan gadis kecil itu lalu dibersihkan dan rambutnya disisir. Semuanya diperlakukan dengan penuh kasih sayang. Gadis kecil itu lalu dipakaikan pakaian yang indah dan diberikan makanan, juga wang saku untuk hari raya. Lalu ia dibawa keluar, agar dapat bermain bersama anak-anak lainnya.

Anak-anak lain merasa iri pada gadis kecil dengan gaun yang indah dan wajah yang berseri-seri itu. Mereka merasa keheranan, lalu bertanya :
“Gadis kecil, apa yang telah terjadi? Mengapa kamu kelihatan sangat gembira?”
Sambil menunjukkan gaun baru dan wang sakunya gadis kecil itu menjawab:

“Akhirnya aku memiliki seorang ayah! Di dunia ini, tidak ada yang boleh menandinginya! Siapa yang tidak bahagia memiliki seorang ayah seperti Rasulullah?

Aku juga kini memiliki seorang ibu, namanya Aisyah, yang hatinya begitu mulia. Juga seorang kakak perempuan, namanya Fatimah. Ia menyisir rambutku dan mengenakanku gaun yang indah ini. Aku merasa sangat bahagia, dan ingin rasanya aku memeluk seluruh dunia beserta isinya.”

Rasulullah saw bersabda : ”Siapa yang memakaikan seorang anak pakaian yang indah dan mendandaninya pada hari raya, maka Allah SWT akan mendandani/menghiasinya pada hari Kiamat. Allah SWT mencintai terutama setiap rumah, yang di dalamnya memelihara anak yatim dan banyak membagi-bagikan hadiah. Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan melindunginya, maka ia akan bersamaku di surga.”

Jom Remaja ESQ_RS
Nukilan : Nurdinie Sufi

Baca Selanjutnya »»

JomHEBOH

ESQ_Teens – Syok Giler!


Pekabo kengkawan semua? Sebetulnya aku ni bukan power sangat bab-bab mengarang. Tapi aku rasa apa aku tulis dan kongsi ini penting. Jadi, aku taram ajelah apa yang patut. He. He. He.

Aku nak stori sikit kat korang semua tentang ESQ_Teens ni. Mulanya masa mak aku suruh aku join program ni, aku tension giler. Macam-macam cara aku cari untuk mengelat dari program ini.

Dahlah program ni mahal, RM700 tuuuuuuuuuuuuu, nak kena stay sampai 2 hari tu. Dalam kepala aku masa tu. Mesti boring giler. 2 hari berturut-turut.

Tapi, korang faham-faham ajelah. Teruk-teruk akupun, tak sampai hati mengguris perasaan seorang ibu. Jadi terpaksalah join gak program tu. Nasib baik, program ni wat kat hotel. Kira class la kan. He. He. He.

Korang tau tak. Memang tak terjangkau dek kepala hotak aku ni. Program yang aku sangkakan penuh dengan keboringan ini. Rupa-rupanya program ni memang best. Syok giler! Trainers pun best!

Aku dan semua peserta yang lain dibawa meneroka alam ciptaan Alam, mengenali Pencipta, mengenali Diri sendiri, kekuatan dan kelemahan diri, mengukuhkan cinta pada Allah dan kasih pada RasululLah. Dan banyakkkkkkk lagiiiiiiiii. Sampai berjurai-jurai airmata aku beb!

Tak sangka, aku boleh menangis masa tu. Bukan airmata buaya tau! Tapi aku terasa sangat betapa kerdilnya aku dipandangan Allah. Betapa banyaknya dosa-dosa ku selama ini. Teringat segala kelakukan aku yang tak baik pada ibubapa, guru, kawan-kawan…fuh! Pendekata program ni memang best.

Sikit sebanyak, hasil dari program ni. Aku lebih mengenal Allah. Lebih akrab dengan diri aku sendiri. Lebih bijak dalam membuat keputusan. Lebih kukuh kecintaan pada Tuhan.

Dan aku akan terus berusaha baiki diri. Maklumlah kehidupan kat dunia ni sekejap jer beb.

Aku dah alumni ESQ_Teens sekarang ni. Korang bila lagi. Jom la join. Rugi kalau tak join. Ilmunya memang tak boleh dibandingkan dengan harga RM550 atau RM700. Sekali banyak, boleh attend lagi sebagai refresher.

Tunggu apa lagi beb!

Jom Remaja ESQ_RS!


Bob,
Alumni ESQ_Teens

Baca Selanjutnya »»

JomKREATIF

Aku Ori Bukan Fotokopi

Aku Ori Bukan Fotokopi
Rambutmu tajam seperti duri
Cicak jatuh mesti mati
Konon punya gaya sendiri
Siapa tegur pun kau tak peduli.


Kau memang suka bersubang
Di bibir, di pusat, di dahi, di hidung
Buang masa merewang-rewang
Naik berang disuruh bertudung.

Konon ori bukan fotokopi
Konon ori bukan fotokopi
Suruh solat pun tak reti.

Black metal, punk sampah
Budaya Barat bersepah-sepah

Kadang-kadang rasa menyampah
Ditegur dilarang buat tak endah.

Maksiat mungkar merata-rata
Buang anak tak rasa berdosa
Bukan niat nak kutuk mengata
Kalau tak tegur bala menimpa.

Konon ori bukan fotokopi
Konon ori bukan fotokopi
Buat dosa tak sedar diri

Cuba dikau sedarkan diri
Jadilah ori bukan fotokopi

Kembalilah segera kepada Ilahi
Bimbang tak sempat bertaubat nanti.

Engkau aset agama dan negara
Masa remaja hanya seketika
Jangan habiskan bersuka sahaja
Kelak menyesal tak terkira.

Jadilah ori bukan fotokopi
Jagalah maruah dan nilai diri
Jadilah manusia yang dihormati.

Kita punya Al-Quran yang indah
Tambah teguh dengan As-Sunnah
Ikutlah ahli sunnah wal jamaah
Jauhi ahli punnah wal ranah.

Jadilah remaja soleh wa musleh
Tak perlu tiru budaya Barat
Buat baik tak toleh-toleh
Nak jadi mulia ujiannya berat.

Aku ori bukan fotokopi
Aku ori bukan fotokopi
Kukasihkan Allah, kukasihkan Nabi.

Aku ori bukan fotokopi
Aku ori bukan fotokopi
Al-Quran kujunjung tinggi-tinggi.

Aku ori bukan fotokopi
Aku ori bukan fotokopi
Demi Islam yang dicintai.

Aku ori bukan fotokopi
Aku ori bukan fotokopi
Akidahku jelas, tak perlu diragui.

Wahai remaja yang dikasihi
Jadilah ori bukan fotokopi
Miliki jati diri Islami
Impikan syurga setelah mati.

Pesan akhir buat remaja
Jangan disia usia muda
Ikutlah yang baik-baik sahaja
Kelak Allah ganjarkan syurga.

Roha Hassan
9 Ramadhan 1427H

Baca Selanjutnya »»

JomSHARING 3 - Info

Jom Upgrade Akhlak Generasi Masa Depan

Zaman remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan alam kanak-kanak yang tidak matang kepada alam dewasa yang lebih matang. Corak peralihan yang pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang mengalaminya.

Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai khalifah Allah. Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai dalam diri seseorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati. Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua-dua ibu bapanya untuk menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari).

Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan negara. Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, namun akhlak remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi. Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan sebagainya.

Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah persekitaran berubah secara mendadak, terutamanya pengaruh media cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak mempengaruhi pemikiran anak-anak, terutamanya yang baru meningkat remaja. Faktor-faktor lain ialah kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa, perasaan mahu mencuba dan desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya.

Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu gandingan yang mantap dan kerjasama erat di antara ibu bapa, guru, rakan sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah remaja.

1. Peranan Ibu Bapa

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka.” (At-Tahrim : 6)

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

2. Peranan Guru

Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas pendidikan yang dilakukan oleh Rasulullah. Baginda bersabda yang bermaksud: “Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan.”

Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:

2.1 Menjadi ‘Qudwah Hasanah’ atau contoh teladan yang baik. Setiap tingkah-laku guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan mereka akan menjadi ikutan.

2.2 Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, dan sanggup berkorban masa dan tenaga.

2.3 Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai ‘role model’ kepada pelajar.

2.4 Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.

2.5 Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan Rabbani.


3. Peranan Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain.
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini, dengan
syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa.

4. Peranan Anggota Masyarakat

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Ali Imran : 103)

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain.” (Riwayat at-Tabarani)

Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan remaja yang sihat

Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah. Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting yang mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang.

Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Qasas : 56)

-Nurdinie Sufi-

Baca Selanjutnya »»

jomSHARING 2 - info

Jom Lepak Dengan Generasi Alaf Baru

Pernahkah anda berada di dalam sebuah parti anjuran sekumpulan remaja di sebuah kolej? Atau berada di sebuah pusat membeli-belah di KLCC? Atau berada di dalam majlis sambutan hari lahir anak remaja anda atau pelajar remaja anda? Berdirilah seketika di tempat anda berada dan hayatilah suasana di sekeliling anda.

Anda akan dapati betapa berbezanya cara mereka berpakaian, cara mereka bersolek dan cara mereka bersikap dan berbual. Begitu banyak perubahan yang boleh anda lihat pada generasi muda hari ini berbanding sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Perubahan yang besar bukan sahaja berlaku pada perubahan fesyen dan ‘slang’ mereka, banyak lagi perkara yang dapat kita saksikan berlaku terhadap generasi muda kita hari ini.
Pada kesempatan yang lain, apa kata kita selak berita-berita utama di dada akhbar yang melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang melibatkan generasi baru ini. Pendek kata, daripada kes ragut hingga ke jenayah berat seperti merompak, merogol dan membunuh, kejadian jenayah yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini turut disumbang oleh golongan generasi baru ini. Ia bukan sesuatu yang asing dan rahsia lagi.

Setelah melihat, meneliti, membaca dan menghayati, sudah pasti sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita mahukan generasi pelapis dan pewaris ini daripada kalangan mereka yang mampu memastikan wawasan dunia dan akhirat tercapai. Kelompok ini adalah pemimpin masa hadapan. Kelompok inilah yang bakal mewarnai kepimpinan negara di pelbagai tempat pada tahun 2020 nanti.
Ciri-ciri generasi muda yang digambarkan oleh Al-Quran di dalam surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 9 hingga ayat 26, di mana di dalam ayat 13 dan 14 yang diterjemahkan sebagai:

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (dijelaskan yakni berdiri di hadapan raja Dikyanus/Decius) yang zalim dan menyombongkan diri) lalu berkata: ‘Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang amat jauh dari kebenaran.’”

Beginilah generasi yang menjadi impian ibu bapa, pendidik serta ahli masyarakat. Islam juga sangat menghargai apa saja yang dimiliki pada waktu muda. Ketika dalam usia mudalah Rasulullah mengingatkan untuk menggandakan segala kemampuan dan peluang, misalnya mengoptimakan pelbagai kegiatan masa muda sebelum datang masa tua dan anjuran memanfaatkan waktu lapang secara praktis.

Umar bin Khattab sangat menghormati golongan pemuda. Ketika menghadapi masalah-masalah serius termasuk penyebarluasan Islam, pemuda diberi peranan yang cukup strategis. Golongan muda diajak bermusyawarah dalam menentukan kebijakan-kebijakan pemerintahan yang dipimpinnya. Terbukti, kerana hal itu hasilnya amat mengagumkan.

Malah, para pejuang pemuda terdahulu telah memberikan teladan keteguhan dan ketokohan mereka. Para pemuda generasi awal ini telah dicatatkan di dalam sejarah Islam sebagai figur yang sepatutnya dijadikan contoh oleh generasi baru. Mereka menjadi contoh dan dihormati, memeluk Islam dan menjadi da’i sejak usia muda lagi, antaranya Ali bin Abi Thalib (lapan tahun), Zubair bin Awwam (lapan tahun), Arqam bin Abi Arqam (11 tahun), Ja'far bin Abi Thalib (lapan tahun), Shahih Ar-Rumi (19 tahun), Zaid bin Harithah (20 tahun). Sa'ad bin Abi Waqash (17 tahun), Utsman bin Affan (20 tahun), Umar bin Khattab (27 tahun), Abu 'Ubaidah bin Jarrah (27 tahun), Abdurrahman bin Auf (30 tahun), dan Abu Bakar Shiddiq (37 tahun).

Namun, apabila kembali ke dunia realiti masyarakat kini, dan setelah pelbagai usaha dijalankan oleh pelbagai individu dan organisasi, isu berkaitan dengan masa depan generasi baru ini terus menjadi agenda utama negara, agama dan masyarakat. Sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita mesti terus memainkan peranan sewajarnya demi pembinaan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Beberapa peranan seperti berikut adalah dicadangkan dalam memastikan generasi baru ini mampu menerajui agama, negara dan masyarakat dalam mencapai wawasan yang telah ditetapkan. Ia hanya beberapa peranan daripada puluhan peranan yang perlu kita sama-sama mainkan. Jom lepak dengan generasi muda. Mungkin tips berikut mampu membantu kita:

1. Mengenali generasi baru kita ini dengan teliti dan mendalam adalah peranan paling asas yang perlu anda lakukan. Sekiranya anda adalah ibu bapa, perubahan anak-anak remaja anda tidak boleh dipandang sepi. Sekiranya ada perkara-perkara yang pelik berlaku, tidak salah untuk ibu bapa bersifat ingin tahu. Tidak salah untuk mendapatkan serba sedikit informasi daripada guru-guru tentang sikap anak remaja anda di sekolah.

Bukan sesuatu yang merugikan jika anda memiliki sedikit maklumat yang penting tentang rakan-rakan karib dan sebaya mereka. Tidak salah juga untuk anda mendapatkan serba sedikit maklumat ke mana dan di mana tempat mereka biasa melepak. Dan yang paling penting, mengamati dan menganalisa sebarang perubahan kecil dan besar yang boleh anda lihat pada diri anak remaja anda dari masa ke semasa, kerana kebanyakan perubahan berlaku sedikit demi sedikit. Jarang sekali ia berlaku secara mendadak. Cuma, jangan terlalu mengongkong sehingga mereka memberontak. Lakukan semua ini secara hikmah.

2. Generasi baru ini adalah tanggungjawab kita bersama. Sebagai ahli masyarakat, kita mesti prihatin tentang anak-anak remaja sahabat, rakan sekerja atau jiran kita. Antara pengaruh paling besar di dalam kehidupan anak-anak remaja ini ialah rakan sebaya, gang atau klik. Kita mesti menjaga tepi kain terhadap perilaku anak-anak remaja di dalam kawasan kejiranan kita. Sama sekali bukan satu pendekatan yang sihat jika kita memegang falsafah “biarlah masing-masing dengan amalan masing-masing sebab kubur pun tidak sama”.

Kita mesti sama-sama menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Sekiranya kita melihat perilaku yang tidak sihat dilakukan oleh generasi harapan kita ini, sesuatu mesti kita lakukan seperti memberikan nasihat sewajarnya atau memaklumkan kepada keluarga atau pihak sekolah, atau andainya kita merasa bimbang dari sudut keselamatan, kita boleh mendapatkan bantuan daripada pihak keselamatan.

3. Kuasa media harus diseimbangkan – media massa memang memiliki peranan yang amat besar di dalam mencorakkan corak atau trend semasa yang diikuti oleh remaja. Samada media elektronik atau cetak, mereka memang boleh membina remaja hari ini menjadi generasi soleh lagi musleh atau generasi rosak dan pincang yang menjadikan keseronokan dan hiburan sebagai anutan. Keghairahan sebahagian media menghidangkan hiburan melampau, drama bersiri yang menggambarkan kehidupan remaja yang mabuk cinta sehingga sanggup melahirkan anak-anak luar nikah atau lari bersama pasangan masing-masing, atau iklan-iklan yang mempamerkan remaja dengan pakaian yang tidak senonoh, video-video klip artis yang berkelakuan lucah sambil menyanyi dan macam-macam lagi pengisian yang menyumbang kepada kerosakan generasi baru ini haruslah dibendung segera.

Kita tidak menghalang hiburan, kerana fitrah manusia memerlukan hiburan. Cuma fungsi utama media ialah saluran komunikasi dan pendidikan yang efektif. Hiburan sepatutnya menjadi fungsi sekunder, bukan primer atau utama. Namun hari ini, praktisnya berlawanan dengan ruh asal, di mana hiburan dan keseronokan seakan-akan menjadi agenda utama sesetengah media.

4. Melihat ‘tube’ dan skirt yang ketat dan singkat yang dijual secara berleluasan, terpandang gambar wanita separuh bogel mempromosikan jam yang berjenama terkenal, atau aksi beberapa remaja lelaki dan wanita melompat menari dan menyanyi tanpa batasan sambil menikmati minuman ringan di dalam ‘commercial break’, atau foto remaja lelaki dan wanita berpelukan sambil memegang telefon berjenama yang terpampang di papan-papan iklan adalah satu lagi cabaran kepada para remaja kini. Sikap sesetengah ahli perniagaan yang hanya ingin mencari untung menjadikan generasi baru ini dewasa sebagai kapitalis muda. Nasihat dan peringatan ibu bapa dan guru-guru tidak boleh melawan kuasa media, jenama dan trend yang dicipta khas untuk remaja.

Islam tidak menghalang idea-dea baru yang kreatif dan inovatif selagi mana ia tidak bercanggah dengan apa yang ditetapkan oleh Al-Quran dan As-sunnah. Namun, bagaimana mereka boleh membesar sebagai generasi yang seimbang kecemerlangannya di dunia dan di akhirat kalau terdapat segelintir manusia yang hanya mementingkan kantung masing-masing tanpa memikirkan halal haram dan kesan buruk terhadap remaja.

Terus-terusanlah mereka yang hanya memikirkan keuntungan mencipta pakaian yang ketat dan singkat, mengeluarkan filem yang mengandungi adengan bercium yang dilakonkan oleh para pelakon Islam, mencipta lagu-lagu cinta yang mengkhayalkan dan menghairahkan, dan menggalakkan pergaulan bebas melalui contoh-contoh yang diiklankan.

Kesimpulannya, generasi baru hari ini adalah bakal pemimpin masyarakat dan negara. Tercapai atau tidaknya wawasan negara atau akhirat adalah bergantung di tangan mereka. Setiap individu atau organisasi samada ibu bapa, pendidik, pemimpin negara, pensyarah, artis, ahli perniagaan, ahli politik, persatuan kerajaan atau persatuan bukan kerajaan atau pihak swasta atau parti politik mesti memainkan peranan sewajarnya.


Baca Selanjutnya »»

jomSHARING

Artikel dari nurdinie sufi.
Klik Gambar untuk prebiu pdf format.

1-

CINTA OH CINTA



NOT ME NOT NOW

Baca Selanjutnya »»

jomKREATIF

PUISI

ADUH! DIA BERHELAH LAGI

Aduh!
Dia berhelah lagi
Menyeleweng wang saku yang ibu beri.

Alahai!
Dia berdusta kembali
Duit saku yang ibu beri
Buat belanja di sekolah nanti
Bersama geng mencuri-curi
Rokok dibeli, janji pada ibu dimungkiri.

Remaja kita
Merokok, melepak, ponteng sekolah.

Remaja kita
Mabuk kepayang dengan kesenangan hawa nafsu.

Mereka
hanya ingin suka-suka.

Mereka
Khayal berdating dan bercinta.

Mereka
Mabuk dunia
Jauh dari akhirat.

Mereka
Memboros masa dan tenaga
Pada kerja sia-sia.

Dan kita
Sebagai ibu bapa
Haruskah terus didusta?

Dan kita
Sebagai pendidik
Wajarkah memaki mengherdik?

Dan kita
Ahli masyarakat yang cerdik
Cukupkah sekadar memandang jelek

Banyak teori daripada tindakan yang strategik?

Dan dikau
Pemilik kuasa sementara
Sebagai pemerintah di bumi Malaysia
Tidakkah engkau terasa celaka
Melihat kerosakan para remaja

Segala hiburan yang kalian puja-puja
Buat remaja jadi tambah gila
Sedangkan merekalah masa depan negara
Sedangkan merekalah harapan nusa dan agama

Tolong...Jangan berlepas tangan sahaja.

Dan dikau
Pemilik akta-akta dan kuasa
Tidakkah kalian terluka
Melihat penyakit yang menimpa anak bangsa
Black Metal, Punk sampah dan segala kerosakan budaya.

Ingatlah!

Aku, kau dan mereka
Pasti ditanya oleh yang Maha Kuasa,
Tentang tanggungjawab kita kepada semua remaja.

Nurdinie Sufi

Baca Selanjutnya »»

LIRIK LAGU untuk jomLAYAN!

LIRIK LAGU

My Chemical Romance - Teenagers


They’re gonna clean up your looks
With all the lies in the books
To make a citizen out of you
Because they sleep with a gun
And keep an eye on you, son
So they can watch all the things you do
Because the drugs never work
They’re gonna give you a smirk

‘Cause they got methods of keeping you clean
They’re gonna rip up your heads,
Your aspirations to shreds
Another cog in the murder machine

They said all teenagers scare the living s**t out of me
They could care less as long as someone’ll bleed
So darken your clothes or strike a violent pose
Maybe they’ll leave you alone, but not me

The boys and girls in the clique
The awful names that they stick
You’re never gonna fit in much, kid
But if you’re troubled and hurt
What you got under your shirt
Will make them pay for the things that they did

They said all teenagers scare the living s**t out of me
They could care less as long as someone’ll bleed
So darken your clothes or strike a violent pose
Maybe they’ll leave you alone, but not me
Ohhh yeah!

They said all teenagers scare the living s**t out of me
They could care less as long as someone’ll bleed
So darken your clothes or strike a violent pose
Maybe they’ll leave you alone, but not me

All together now!

Teenagers scare the living s**t out of me
They could care less as long as someone’ll bleed
So darken your clothes or strike a violent pose
Maybe they’ll leave you alone, but not me
[x2]

Seroja

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja

( korus )
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Lupakan saja asmara
Pada asmara...

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja

( ulang korus )

Baca Selanjutnya »»

jomBERBALAS

Berhubung dan bermaklum balas dengan jomLEPAK melalui Nurdinie sufi di Yahoo mesenger - Nurdinie_sufi atau pun boleh emailkan ke gmail jomlepak08@gmail.com

Baca Selanjutnya »»

jomTANYA



SESI BERTANYA bersama nurdinie sufi.

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan "Kak Roha Sudi Mendengar" akhbar Sinar Harian.


1-

Kak Roha,
Kawan-kawan sekelas saya suka menghabiskan masa lapang dengan bergossip. Apa pandangan Kak Roha tentang gossip dan bagaimana cara untuk mengelakkan diri dari sikap suka bergossip.


Amira, Klang

Jawapan :

Adik Amira,

Sebelum Kak Roha memberikan pandangan. Elok kiranya kita analisa dahulu sedikit sebanyak tentang apa yang dinamakan sebagai gossip.

Gossip biasanya melibatkan cerita tentang orang lain. Dimana cerita-cerita yang dibincangkan belum disahkan kesahihannya. Adakalanya ia cerita yang baik dan kerapkali pula ia melibatkan cerita yang kurang baik.

Dengan itu, bergossip boleh menyebabkan kita jatuh dalam kategori mengumpat atau memfitnah. Padahal kita maklum betapa besarnya bahaya mengumpat dan memfitnah.

Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, "Dan janganlah setengah kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya"

Untuk golongan remaja yang sedang mekar berkembang, menghabiskan masa bergossip adalah satu perbuatan yang merugikan. Padahal perbuatan bergossip dikalangan manusia adalah disebabkan oleh perasaan tidak puashati, hasad dengki, bualan kosong dan melucukan semata-mata atau sekadar mengambil hati teman-teman yang suka menunjuk-nunjukkan kelebihan diri seraya membuka aib dan kelemahan diri insan lain.

Perbuatan suka bergossip ini boleh dihentikan. Memandangkan ia berkait rapat dengan akhlak dan tabiat yang buruk, ia boleh dibaiki dengan ilmu dan kesungguhan.

Berikut adalah beberapa langkah dicadangkan kepada adik-adik dalam mengelakkan diri dari terus bergossip.

1. Kenangkan kekurangan yang ada pada diri kita sendiri sebelum kita hebahkan tentang kelemahan dan kekurangan rakan atau orang lain.

RasululLah saw telah bersabda : "Bertuahlah orang yang sentiasa bekerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain"

2. Letakkan diri kita ditempat insan atau kawan yang menjadi bahan gossip. Bayangkan perasaan kita sekiranya insan yang digossip tersebut ialah diri kita sendiri. Tentulah kita akan berasa sedih dan pedih kerana keaiban kita dijadikan bahan perbualan dan senda gurau

3. Penuhi masa lapang dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Menghabiskan masa melepak dan bergossip tanpa mendatangkan sebarang kebaikan adalah perbuatan sia-sia. Adalah lebih baik menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah seperti mengulangkaji pelajaran, membaca atau berekreasi.

4. Fahamilah kesan mengumpat dari sudut hubungan sesama rakan-rakan. Bayangkan teman yang digossip mengetahui dirinya sedang digossip. Perbuatan yang pada asalnya untuk suka-suka dan menghabiskan masa berakhir dengan pergaduhan dan pertengkaran.

5. Sentiasalah muhasabah diri dari masa ke semasa supaya sentiasa menjaga anggota tubuh kita dari dosa dan noda. Dalam persoalan gossip, anggota yang terlibat ialah lidah. Peliharalah lidah kita dari dosa dan perbuatan yang sia-sia

Nurdinie Sufi

Baca Selanjutnya »»

jomHEBOH!!

Belum ada info terkini..coming soon!

Baca Selanjutnya »»

jomPROFILE




JOM L.E.P.A.K

(Lets Enhance Positive Attitude & Knowledge)
(Loving. Empathy. Peace. Active. Knowledgeable)

Secara ringkasnya blog ini adalah Komuniti Blog untuk remaja berkumpul menimba ilmu dan berkongsi masalah dan pengalaman serta berkomuniti sesama remaja.Blog yang diilhamkan oleh 'Nurdinie Sufi' bertujuan untuk membangunkan komuniti remaja masa kini. jomLEPAK membudayakan konsep 'Remaja Friendly' @ 'Mesra Remaja' yang berelemenkan "We Love We Care", "Say No" & "We Are The Future".


1.0 TEMA

5 komponen utama di dalam perkataan L.E.P.A.K.

a. L – Loving – Penyayang. Meningkatkan perasaan kasih sayang kepada Tuhan, Insan dan Alam di dalam diri para remaja. Juga meningkatkan kasih sayang masyarakat kepada para remaja.
b. E – Empathy – Empati. Meningkatkan perasaan empati remaja pada rakan sebaya, ibubapa dan masyarakat sekitar. Dengan ini dapat mengurangkan tingkahlaku tidak sihat yang kejam seperti membunuh, membuli, gengsterisme dan lain-lain.
c. P – Peace – Keamanan. Keamanan diri, masyarakat negara dan sejagat adalah satu elemen penting yang perlu ditekankan di dalam minda dan jiwa remaja.
d. A – Active – Aktif. Kita tidak menafikan keaktifan remaja adalah fitrah semulajadi mereka. Kita mengharapkan para remaja bertambah aktif di dalam menglibatkan diri di dalam pelbagai aktiviti sihat, aktif merancang masa depan yang gemilang, aktif membina diri menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.
e. Knowledgeable – Berpengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah asas yang penting bagi remaja membezakan sesuatu tindakan atau jalan yang dipilih itu baik untuk diri sendiri, agama, keluarga dan masyarakat. Remaja adalah pemimpin dan penentu corak masa depan negara dan dunia.


2.0 Remaja Friendly

Membudayakan konsep "Remaja Friendly" @ "Mesra Remaja". Tiga elemen utama di dalam konsep ini ialah:-

WE LOVE WE CARE

a. Konsep "We Love, We Care" - dengan agenda untuk menunjukkan sikap mesra dan kasih sayang aku dan JIM di dalam mendekati remaja. Terlalu banyak tuduhan dan dakwaan yang pelbagai tentang remaja. Namun biarlah aku dan JIM dekati remaja dengan Kemesraan dan kasih sayang.

SAY NO!
b. Konsep "Say No..." atau "Katakan Tidak" (kepada rokok, dadah, zina, gangterisme) dan lain-lain masalah kegawatan Sosial

WE ARE THE FUTURE
c. Konsep "We Are The Future" - dengan agenda menerapkan nilai-nilai kepimpinan dan harapan agama bangsa dan negara dalam diri remaja

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri