jomPROMO ESQ-RS!!



jomSHARING


Dimanakah Dikau Wahai Kawan Yang Setia

Soalan

Kak Roha, saya sering menjadi mangsa tipu daya kawan-kawan. Saya juga sering didustai oleh kawan-kawan. Baru-baru ini kawan yang saya kenali beberapa tahun yang lalu menyebarkan fitnah terhadap saya. Ini bukan kali pertama pula saya ditipu oleh kawan-kawan samada dari sudut janji, wang ringgit, latihan dan buku-buku rujukan. Malahan macam-macam lagi perbuatan kawan-kawan yang tidak menyenangkan.

Saya ingin bertanya pandangan Kak Roha, masih adakah kawan yang setia? Yang ikhlas dan tidak akan mengkhianati kita? Apakah panduan untuk memilih kawan atau sahabat yang baik. Kadang-kadang saya rasa ingin hidup sendiri tanpa kawan-kawan

Lyn,
Kuala Lumpur




------------------------------------------------------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt

Lyn,

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakndanya berkaitan dengan teman ialah, ”Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Dari pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan persanan ini kepada anakndanya, ”Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.

Memang berbeza sekali bandingan diantara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.

Di dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam Al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut Al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :

(1) Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungi mu
(2) Jika engkau rapatkan persahabatan denganya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
(3) Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
(4) Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerimanya dengan baik.
(5) Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
(6) Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
(7) Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
(8) Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
(9) Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
(10) Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu
(11) Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu
(12) Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Manakala Abu Sulaiman Ad-Darani pula berpesan : Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:
(1) Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal dunia
(2) Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

Semoga panduan yang sedikit ini dapat membantu Lyn meneruskan kehidupan seperti remaja yang lain. Teruslah memiliki teman tetapi kali ini dengan lebih berhati-hati serta menjadikan mereka yang mampu membahagiakan kita dunia dan akhirat sebagai kawan. Sudah tentu di dalam dunia ini ada kawan yang setia yang kita temui kelak.



Baca Selanjutnya »»

jomSHARING


Jangan Marah-Marah Beb!

Assalamualaikum wbt...

Puan Roha,

Saya mempunyai dua orang anak remaja yang sangat berbeza sikapnya. Seorang sangat pendiam dan berahsia. Manakala adiknya pula seorang yang mudah marah dan naik angin. Sebagai ibu, kadang-kadang saya rasa runsing menguruskan karenah anak-anak remaja saya ini. Dulu masa kanak-kanak rasanya tidak sesusah ini menguruskan mereka. Kalau dulu bila mereka mengamuk lebih mudah dipujuk. Tapi sekarang ni terasa kusut sangat. Mohon pandangan Puan adakah cara atau panduan untuk bagaimana mengawal emosi dan kemarahan anak-anak remaja.

Adibah,
Hulu Selangor



------------------------------------------------------------------------------------
Waalaikumussalam wbt...

Puan Adibah yang dihormati,

Saya empati terhadap puan. Untuk pengetahuan puan, melalui pengalaman saya. Perkara seumpama ini bukanlah dihadapi oleh Puan semata-mata. Malahan ia turut dialami oleh ramai ibubapa yang memiliki anak-anak remaja.

Secara teorinya, apabila meningkat remaja, emosi anak-anak lebih banyak dan pelbagai. Kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan mesti diluahkan pada masa dan tempat yang tepat. Kerap kali para remaja akan bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar dijangka dan sering bertukar-tukar. Sebab itu, mereka amat memerlukan bimbingan untuk meluahkan emosi mereka

Barangkali para remaja tidak lagi mengamuk apabila marah, kecewa atau keinginannya tidak dipenuhi. Tetapi ia akan ditunjukkan dalam bentuk pemberontakan atau kemarahan.

Seperti juga semasa mereka masih kanak-kanak, ”amukkan” para remaja ini mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Disini saya ingin berkongsi beberapa teknik “Anger Management” yang ibu bapa harus pelajari untuk menguruskan kemarahan anak-anak remaja melalui teknik-teknik ”Anger Management” di mana;

1. Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah ia bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak-anak remaja. Cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian. Contohnya marah pada perbuatan yang tidak baik dan memudaratkan diri dan orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan. Contohnya marah apabila dibuli, marah apabila melihat ketidakadilan atau penganiayaan.

Manakala kemarahan yang tidak berasas dan tidak bertempat seperti memarahi adik, ibu, ayah, kawan atau jiran secara tiba-tiba. Contoh kemarahan lain yang tidak sihat ialah memarahi orang lain terhadap sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh diri sendiri.

Perbezaan terhadap kedua jenis kemarahan ini harus difahami oleh kedua-dua pihak, remaja dan ibubapa.

2. Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang membuat anak remaja menjadi marah. Dari sini ibu bapa akan memahami amukkan dan kemarahan anak-anak ini berasas atau sebaliknya. Kalau kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali semasa kanak-kanak, mereka terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu. Akibatnya sikap ini terbawa-bawa hingga ke usia remaja.

Namun sekiranya kemarahan remaja tersebut memang berasas dan sebenarnya akibat kecuaian dan kesilapan ibubapa atau keluarga, pembaikan atau islah mesti dilakukan. Contohnya, remaja ini sering marah-marah kerana sikap ibubapa yang tidak adil. Sering memenangkan adik atau kakak dalam semua perkara. Contoh lain, kemungkinan remaja ini menghadapi pelbagai masalah di sekolah yang menyebabkan dia runsing dan cepat marah.

3. Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah SAW : Bahawasanya marah itu perosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.

Anak-anak ini harus diterangkan kesan atau akibat negatif dari kemarahan mereka yang tidak berasas. Bawakan contoh-contoh dan kisah-kisah yang memudaratkan mereka yang pemarah dan gagal mengawal emosi. Mereka harus bertanggungjawab terhadap akibat atau kesan daripada emosi atau kemarahan mereka yang tidak dikawal.

4. Selain dari itu, bimbinglah remaja kita bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya para remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka cenderung untuk bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal.

InsyaAllah dengan menarik nafas dengan kiraan 1-10, mengambil wuduk, solat, membaca doa dan al-Quran, berjalan-jalan di tepian pantai adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan dan amukkan mereka.

5. Ibu bapa sebagai ”role model” – Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri atau ”lost temper” ketika menangani amukkan dan kemarahan anak-anak sejak mereka kecil lagi akan membesarkan seorang remaja yang pemarah dan moody tidak tentu pasal. Selain dari itu, di luar kesedaran ibu bapa, kata-kata kesat dan tindakan kasar semasa ”lost temper” adalah satu penderaan.

Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan dengan anak-anak yang sedang mengamuk atau marah akan secara tidak langsung mendidik anak-anak menjadi remaja yang penyabar, prihatin dan bijak mengawal perasaan. Maklumlah ibu bapa adalah role model terhampir kepada anak-anak.

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri