jomPROMO ESQ-RS!!



Dunia Ini Pentas Lakonan



Senario 1 : Satu hari, di Giant Taman Permata, seorang gadis berbaju sekolah telah mendekati teman saya yang sedang sibuk memilih baju. Gadis tersebut yang kami anggarkan berusia dalam 14 tahun atau tingkatan dua tiba-tiba memegang tangan teman sepejabat saya itu. Teman saya tergamam seketika. Tambah tergamam bila gadis tersebut tiba-tiba merayu, "Kak...tolonglah berlakon jadi guru saya. Tolonglah Kak! Tolong la Kak. Datuk saya ada di tingkat atas. Dia tengah tengok saya Kak. Tolonglah Kak! please..."




Teman saya yang panik melepaskan pegangan remaja tersebut dan cepat-cepat menjauhkan diri. "Elok la hang jauhkan diri. Kalau hang pi berlakon jadi cikgu dia. Jenuh la hang nak menjawab kalau tokwan dia tanya, awat cikgu bawa cucu saya pi shopping time-time sekolah ni. Dak pun, hang wajib la gelabah kalau tokwan dia tanya, "Kat Giant ni pun ada kelas nu cikgu!..."he he he..." dan kami pun gelak ramai-ramai. Gelak betul2, bukan berlakon...

Senario 2 : Beberapa minggu kebelakangan ini rumah jiran kami dijadikan lokasi penggambaran, drama apatah. Lupa dah nama drama tersebut. Namun yang pasti kehadiran krew penggambaran ni kadang-kadang menjadi satu gangguan. Mana taknya van dan peralatan mereka yang menghalang laluan kereta dan manusia. Tapi takpelah boleh je bersabar dengan semua tu. Cuma dua tiga hari yang lalu terperanjat sikit, bila difahamkan dua orang anak gadis jiran yang sorang lagi diambil berlakon sebagai pelakon tambahan. Mereka berdua ni masih belajar. Khabarnya 2-3 minit je lakonan tu. Tapi yang tak tahan tu bila ibu saudaranya yang ceria habis membuat ulasan. "Baguih depa pi berlakon. Mana tau kot-kot esok otak tak pandai. Buleh jadi pelakon. Betui tak Roha" Bersungguh sekali kakak yang berasal dari utara ini bercerita. "Betui la Kak. Tapi kena berlakon yang elok-elok" jawab saya. Entah dia faham ke tidak maksud kata-kata saya tadi. Antara tersurat dan tersirat. Akhir-akhir ni ibubapa memang seronok sungguh anak-anak mereka jadi pelakon dan penyanyi. Tak caya, tengoklah AF.

Senario 3 : Al-kisah seorang teman menulis email tentang kedukaan hatinya sebab suaminya diberhentikan kerja. Kata teman saya, "Sejak suami Kak diberhentikan kerja, hidup kami semakin susah. Mula-mula tak terasa sangat. Tapi selepas 6 bulan, suami Kak belum dapat kerja baru memang terasa sempit sangat. Talian internet ni pun kalau dah tak sanggup membayar, terpaksa la dipotong. Kalau Roha datang belah-belah utara ni singgah la sat. Kak tak tau nak curah kat sapa kesusahan Kak. Selama ni depan anak-anak, suami, adik beradik dan kawan-kawan Kak dok berlakon OK dan biasa saja. Padahal kepala Kak ni berserabut. Dada Kak ni dok bersarang. Kadang-kadang rasa bersalah dok berlakon lagu. Tapi nak buat maam mana lagi. Kak pun tak tau....". Sejenak saya termenung memandang ke luar bilik. Berfikir! Betapa kehidupan ini penuh cabaran dan ujian yang terkadang memaksa kita berlakon!

Seketika kemudian, tiba-tiba muncullah seorang "pelakon handalan" di depan pintu bilik, begitu baik dan mesra denganku. Padahal baru sebentar tadi membaca e-mail dia mengutuk jabatan kami melalui e-mailnya kepada seorang temannya. Yang mana teman tersebut menforwardkan e-mail fitnahnya itu kepada aku. Namun saya melayannya dengan baik seolah-olah tidak tahu tentang perbuatannya. Dalam hati berbicara, "aku ni betul-betul ikhlas ke berlakon...macam bagus je? Barangkali sebab sudah faham sangat dengan segala watak yang beliau miliki, kita sudah jadi tidak peduli. Lagipun minggu lepas dia kutuk orang lain depan kami.

Namun apa sangat yang hendak didukacitakan. Hidup ini pentas yang penuh dengan pelakon. Pelakon baik, pelakon jahat atau pelakon hipokrit yang tak tau baik ke jahat. Cuma kita je yang kadang-kadang terlupa, segalanya ada perhitungan oleh Tuhan! Tunggulah nanti jenis anugerah apa yang akan diperolehi.

Namun saya kembali tersenyum bila seorang teman bertanya, "Kalau hang ditakdirkan terpilih jadi pelakon. Watak apa yang hang paling teringin nak lakonkan? Jawab saya, "Cukuplah dengan segala pelakon dan lakonan yang ada disekeling kita ni. Aku nak jadi penulis skrip ajelah...."


Terimakasih kerana sudi meluangkan masa membaca!

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri