jomPROMO ESQ-RS!!



Dunia Ini Pentas Lakonan



Senario 1 : Satu hari, di Giant Taman Permata, seorang gadis berbaju sekolah telah mendekati teman saya yang sedang sibuk memilih baju. Gadis tersebut yang kami anggarkan berusia dalam 14 tahun atau tingkatan dua tiba-tiba memegang tangan teman sepejabat saya itu. Teman saya tergamam seketika. Tambah tergamam bila gadis tersebut tiba-tiba merayu, "Kak...tolonglah berlakon jadi guru saya. Tolonglah Kak! Tolong la Kak. Datuk saya ada di tingkat atas. Dia tengah tengok saya Kak. Tolonglah Kak! please..."




Teman saya yang panik melepaskan pegangan remaja tersebut dan cepat-cepat menjauhkan diri. "Elok la hang jauhkan diri. Kalau hang pi berlakon jadi cikgu dia. Jenuh la hang nak menjawab kalau tokwan dia tanya, awat cikgu bawa cucu saya pi shopping time-time sekolah ni. Dak pun, hang wajib la gelabah kalau tokwan dia tanya, "Kat Giant ni pun ada kelas nu cikgu!..."he he he..." dan kami pun gelak ramai-ramai. Gelak betul2, bukan berlakon...

Senario 2 : Beberapa minggu kebelakangan ini rumah jiran kami dijadikan lokasi penggambaran, drama apatah. Lupa dah nama drama tersebut. Namun yang pasti kehadiran krew penggambaran ni kadang-kadang menjadi satu gangguan. Mana taknya van dan peralatan mereka yang menghalang laluan kereta dan manusia. Tapi takpelah boleh je bersabar dengan semua tu. Cuma dua tiga hari yang lalu terperanjat sikit, bila difahamkan dua orang anak gadis jiran yang sorang lagi diambil berlakon sebagai pelakon tambahan. Mereka berdua ni masih belajar. Khabarnya 2-3 minit je lakonan tu. Tapi yang tak tahan tu bila ibu saudaranya yang ceria habis membuat ulasan. "Baguih depa pi berlakon. Mana tau kot-kot esok otak tak pandai. Buleh jadi pelakon. Betui tak Roha" Bersungguh sekali kakak yang berasal dari utara ini bercerita. "Betui la Kak. Tapi kena berlakon yang elok-elok" jawab saya. Entah dia faham ke tidak maksud kata-kata saya tadi. Antara tersurat dan tersirat. Akhir-akhir ni ibubapa memang seronok sungguh anak-anak mereka jadi pelakon dan penyanyi. Tak caya, tengoklah AF.

Senario 3 : Al-kisah seorang teman menulis email tentang kedukaan hatinya sebab suaminya diberhentikan kerja. Kata teman saya, "Sejak suami Kak diberhentikan kerja, hidup kami semakin susah. Mula-mula tak terasa sangat. Tapi selepas 6 bulan, suami Kak belum dapat kerja baru memang terasa sempit sangat. Talian internet ni pun kalau dah tak sanggup membayar, terpaksa la dipotong. Kalau Roha datang belah-belah utara ni singgah la sat. Kak tak tau nak curah kat sapa kesusahan Kak. Selama ni depan anak-anak, suami, adik beradik dan kawan-kawan Kak dok berlakon OK dan biasa saja. Padahal kepala Kak ni berserabut. Dada Kak ni dok bersarang. Kadang-kadang rasa bersalah dok berlakon lagu. Tapi nak buat maam mana lagi. Kak pun tak tau....". Sejenak saya termenung memandang ke luar bilik. Berfikir! Betapa kehidupan ini penuh cabaran dan ujian yang terkadang memaksa kita berlakon!

Seketika kemudian, tiba-tiba muncullah seorang "pelakon handalan" di depan pintu bilik, begitu baik dan mesra denganku. Padahal baru sebentar tadi membaca e-mail dia mengutuk jabatan kami melalui e-mailnya kepada seorang temannya. Yang mana teman tersebut menforwardkan e-mail fitnahnya itu kepada aku. Namun saya melayannya dengan baik seolah-olah tidak tahu tentang perbuatannya. Dalam hati berbicara, "aku ni betul-betul ikhlas ke berlakon...macam bagus je? Barangkali sebab sudah faham sangat dengan segala watak yang beliau miliki, kita sudah jadi tidak peduli. Lagipun minggu lepas dia kutuk orang lain depan kami.

Namun apa sangat yang hendak didukacitakan. Hidup ini pentas yang penuh dengan pelakon. Pelakon baik, pelakon jahat atau pelakon hipokrit yang tak tau baik ke jahat. Cuma kita je yang kadang-kadang terlupa, segalanya ada perhitungan oleh Tuhan! Tunggulah nanti jenis anugerah apa yang akan diperolehi.

Namun saya kembali tersenyum bila seorang teman bertanya, "Kalau hang ditakdirkan terpilih jadi pelakon. Watak apa yang hang paling teringin nak lakonkan? Jawab saya, "Cukuplah dengan segala pelakon dan lakonan yang ada disekeling kita ni. Aku nak jadi penulis skrip ajelah...."


Terimakasih kerana sudi meluangkan masa membaca!

Baca Selanjutnya »»

jomSHARING




Kasih Sayang Itu Bukan Valentine Day

Salam sejahtera

Tarikh : 14 Februari, jam 6.00 petang
Lokasi : Kedai Cenderahati
Senario : Dua Gadis sedang mencari hadiah untuk hari kekasih



Ketika aku singgah di sebuah kedai cenderahati, kelihatan dua orang gadis remaja sedang membelek-belek kad dan hadiah valentine. Kuperhatikan kedua-dua gadis itu yang kelihatan teruja benar membaca bait-bait tulisan yang terdapat di atas kad yang berbentuk hati dan terdapat perkataan "Love". Aku pulak sibuk memilih kad ucapan harilahir yang ingin kuberikan buat sahabat tersayang.

Sejenak aku terdiam, memberikan senyuman dan menyapa kedua-dua gadis yang nampak gembira. "Beli kad valentine? Tanya aku. Kedua-dua gadis hanya menganggukkan kepala sambil ketawa ceria. "Untuk siapa? Aku bertanya lagi. "Untuk kawan" Jawab gadis yang berkulit cerah. "Tanda kasih sayang Kak. Hari ni kan 14 Februari" Jawab gadis yang tinggi lampai pulak. Gadis ni nampak macam peramah orangnya. "Betul tu Kak, hari ni hari valentine Kak. Ramai yang beli kad dan hadiah valentine." Pembantu kedai yang memang aku kenali pula menambahkan maklumat.

"Betul ke valentine day adalah hari kasih sayang? Tanya aku lagi. Ketiga-tiga gadis mendiamkan diri. Hanya tersengih-sengih. "Korang ni, apa orang lain buat. Korang pun nak buat. Entah faham entah tak. Ini alamat blogspot Kak Roha. Pergi baca tentang valentine day kat situ ya. Jumpa lagi, insyaAllah". Aku menghulurkan sekeping nota pada si gadis tinggi lampai sampai berlalu pergi.

Didepan laptop yang aku namakan sebagai "laptop kasih sayang" atau "laptop ukhuwah" ini aku ingin kongsikan dengan tiga gadis remaja comel yang kutemui di kedai cenderahati jam 6.00 petang tadi serta semua insan diluar sana tentang salah satu sumber kasih sayang yang terpenting dalam hidup manusia. Iaitu kasih sayang dalam sebuah keluarga. Bagi aku kasih sayang itu bukan valentine day dan valentine day itu bukan kasih sayang.

Sesungguhnya kasih sayang itu terlalu luas ruang lingkupnya dan satu hari khas tidak cukup untuk membuktikannya.

Selain cinta yang terangung iaitu cinta kepada yang Maha Pencipta. Kasih sayang keluarga adalah kasih sayang yang sangat mulia, indah dan utama.

Akhir-akhir ini, banyak kes yang melibatkan remaja lelaki dan perempuan yang lari dari rumah. Kenapa? Tidak sayang dan rindukah pada keluarga. Begitu juga kes-kes penceraian dan penderaan.



Pergilah ke rumah anak-anak yatim. Tanyalah pada anak-anak yatim atau piatu. Pasti ramai yang teringin benar punya keluarga yang besar dan bahagia. Tanyalah erti rindu pada yang telah kematian ibu atau ayah. Tentu ramai yang merindui saat-saat indah bersama ibu dan ayah ketika mereka masih hidup.

Sebab itu aku ingin nasihatkan kepada aku dan dirimu. Sebelum membeli kad dan hadiah valentine. Hitunglah kasih sayang yang telah diberikan kepada keluarga. Sudahkah kita mengucapkan terimakasih kepada ibubapa, adik beradik dan semua ahli keluarga diatas kasih sayang mereka kepada kita selama ini?

Al-fatihah buat bondaku yang sudah lama meninggalkan aku, abah dan adik beradik. Arwah bondaku adalah ibu yang penuh dengan kasih sayang.

Terimakasih buat keluarga dan para sahabat yang telah memberikan aku kasih sayang.

~Nurdinie Sufi yang menulis sempena 14 Februari~



Baca Selanjutnya »»

jomSHARING


Dimanakah Dikau Wahai Kawan Yang Setia

Soalan

Kak Roha, saya sering menjadi mangsa tipu daya kawan-kawan. Saya juga sering didustai oleh kawan-kawan. Baru-baru ini kawan yang saya kenali beberapa tahun yang lalu menyebarkan fitnah terhadap saya. Ini bukan kali pertama pula saya ditipu oleh kawan-kawan samada dari sudut janji, wang ringgit, latihan dan buku-buku rujukan. Malahan macam-macam lagi perbuatan kawan-kawan yang tidak menyenangkan.

Saya ingin bertanya pandangan Kak Roha, masih adakah kawan yang setia? Yang ikhlas dan tidak akan mengkhianati kita? Apakah panduan untuk memilih kawan atau sahabat yang baik. Kadang-kadang saya rasa ingin hidup sendiri tanpa kawan-kawan

Lyn,
Kuala Lumpur




------------------------------------------------------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt

Lyn,

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakndanya berkaitan dengan teman ialah, ”Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Dari pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan persanan ini kepada anakndanya, ”Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.

Memang berbeza sekali bandingan diantara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.

Di dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam Al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut Al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :

(1) Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungi mu
(2) Jika engkau rapatkan persahabatan denganya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
(3) Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
(4) Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerimanya dengan baik.
(5) Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
(6) Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
(7) Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
(8) Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
(9) Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
(10) Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu
(11) Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu
(12) Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Manakala Abu Sulaiman Ad-Darani pula berpesan : Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:
(1) Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal dunia
(2) Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

Semoga panduan yang sedikit ini dapat membantu Lyn meneruskan kehidupan seperti remaja yang lain. Teruslah memiliki teman tetapi kali ini dengan lebih berhati-hati serta menjadikan mereka yang mampu membahagiakan kita dunia dan akhirat sebagai kawan. Sudah tentu di dalam dunia ini ada kawan yang setia yang kita temui kelak.



Baca Selanjutnya »»

jomSHARING


Jangan Marah-Marah Beb!

Assalamualaikum wbt...

Puan Roha,

Saya mempunyai dua orang anak remaja yang sangat berbeza sikapnya. Seorang sangat pendiam dan berahsia. Manakala adiknya pula seorang yang mudah marah dan naik angin. Sebagai ibu, kadang-kadang saya rasa runsing menguruskan karenah anak-anak remaja saya ini. Dulu masa kanak-kanak rasanya tidak sesusah ini menguruskan mereka. Kalau dulu bila mereka mengamuk lebih mudah dipujuk. Tapi sekarang ni terasa kusut sangat. Mohon pandangan Puan adakah cara atau panduan untuk bagaimana mengawal emosi dan kemarahan anak-anak remaja.

Adibah,
Hulu Selangor



------------------------------------------------------------------------------------
Waalaikumussalam wbt...

Puan Adibah yang dihormati,

Saya empati terhadap puan. Untuk pengetahuan puan, melalui pengalaman saya. Perkara seumpama ini bukanlah dihadapi oleh Puan semata-mata. Malahan ia turut dialami oleh ramai ibubapa yang memiliki anak-anak remaja.

Secara teorinya, apabila meningkat remaja, emosi anak-anak lebih banyak dan pelbagai. Kemarahan, kesedihan, kebencian, kegembiraan, ceria, bingung, tekanan mesti diluahkan pada masa dan tempat yang tepat. Kerap kali para remaja akan bertindak berlebihan dalam meluahkan atau memendam emosi mereka. Perasaan mereka kadangkala sukar dijangka dan sering bertukar-tukar. Sebab itu, mereka amat memerlukan bimbingan untuk meluahkan emosi mereka

Barangkali para remaja tidak lagi mengamuk apabila marah, kecewa atau keinginannya tidak dipenuhi. Tetapi ia akan ditunjukkan dalam bentuk pemberontakan atau kemarahan.

Seperti juga semasa mereka masih kanak-kanak, ”amukkan” para remaja ini mesti diuruskan supaya tidak menjadi lebih parah. Disini saya ingin berkongsi beberapa teknik “Anger Management” yang ibu bapa harus pelajari untuk menguruskan kemarahan anak-anak remaja melalui teknik-teknik ”Anger Management” di mana;

1. Memahami kemarahan sebagai salah satu emosi manusia. Bukanlah ia bermaksud ibu bapa mesti selesa dan raikan kemarahan anak-anak remaja. Cuma ia mesti digunakan pada masa, tempat dan keadaan yang bersesuaian. Contohnya marah pada perbuatan yang tidak baik dan memudaratkan diri dan orang sekeliling adalah kemarahan yang mesti dipupuk dan digalakkan. Contohnya marah apabila dibuli, marah apabila melihat ketidakadilan atau penganiayaan.

Manakala kemarahan yang tidak berasas dan tidak bertempat seperti memarahi adik, ibu, ayah, kawan atau jiran secara tiba-tiba. Contoh kemarahan lain yang tidak sihat ialah memarahi orang lain terhadap sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh diri sendiri.

Perbezaan terhadap kedua jenis kemarahan ini harus difahami oleh kedua-dua pihak, remaja dan ibubapa.

2. Menganalisis punca terhadap kemarahan yang timbul. Sebelum mengurus kemarahan, ibu bapa mesti mengetahui punca sebenar yang membuat anak remaja menjadi marah. Dari sini ibu bapa akan memahami amukkan dan kemarahan anak-anak ini berasas atau sebaliknya. Kalau kemarahan itu hanya disebabkan keperluan yang tidak munasabah, berikanlah nasihat yang sewajarnya. Barangkali semasa kanak-kanak, mereka terbiasa mengamuk untuk mendapatkan sesuatu. Akibatnya sikap ini terbawa-bawa hingga ke usia remaja.

Namun sekiranya kemarahan remaja tersebut memang berasas dan sebenarnya akibat kecuaian dan kesilapan ibubapa atau keluarga, pembaikan atau islah mesti dilakukan. Contohnya, remaja ini sering marah-marah kerana sikap ibubapa yang tidak adil. Sering memenangkan adik atau kakak dalam semua perkara. Contoh lain, kemungkinan remaja ini menghadapi pelbagai masalah di sekolah yang menyebabkan dia runsing dan cepat marah.

3. Terangkan keburukan dan kesan negatif terhadap kemarahan yang tidak terkawal. Sabda Rasulullah SAW : Bahawasanya marah itu perosak iman, bagai barang yang pahit merosak madu.

Anak-anak ini harus diterangkan kesan atau akibat negatif dari kemarahan mereka yang tidak berasas. Bawakan contoh-contoh dan kisah-kisah yang memudaratkan mereka yang pemarah dan gagal mengawal emosi. Mereka harus bertanggungjawab terhadap akibat atau kesan daripada emosi atau kemarahan mereka yang tidak dikawal.

4. Selain dari itu, bimbinglah remaja kita bagaimana untuk bertenang dan bersabar apabila dalam keadaan marah. Biasanya para remaja kurang mahir mengawal diri apabila marah. Mereka cenderung untuk bertindak atau mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan mereka menyesal.

InsyaAllah dengan menarik nafas dengan kiraan 1-10, mengambil wuduk, solat, membaca doa dan al-Quran, berjalan-jalan di tepian pantai adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan dan amukkan mereka.

5. Ibu bapa sebagai ”role model” – Ibu bapa yang sering gagal mengawal diri atau ”lost temper” ketika menangani amukkan dan kemarahan anak-anak sejak mereka kecil lagi akan membesarkan seorang remaja yang pemarah dan moody tidak tentu pasal. Selain dari itu, di luar kesedaran ibu bapa, kata-kata kesat dan tindakan kasar semasa ”lost temper” adalah satu penderaan.

Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengawal kemarahan sendiri ketika berhadapan dengan anak-anak yang sedang mengamuk atau marah akan secara tidak langsung mendidik anak-anak menjadi remaja yang penyabar, prihatin dan bijak mengawal perasaan. Maklumlah ibu bapa adalah role model terhampir kepada anak-anak.

Baca Selanjutnya »»

jomSHARING

Adakah Kerana Aku Tidak Cantik, Aku Tidak Layak Dicintai



Soalan

Nama saya Nadira. Saya berusia 15 tahun dan masih bersekolah. Saya amat meminati seorang pelajar senior yang belajar di sekolah yang sama dengan saya. Namun saya sangat sedih bila baru-baru ini, dia telah memaklumkan pada rakan saya bahawa dia tidak sukakan saya kerana saya tidak cantik. Saya sedih sangat dengan kata-katanya. Saya kecewa sebab dilahirkan tidak cantik. Saya harap Kak Roha dapat memberikan semangat supaya dapat mengurangkan kesedihan hati saya.

Nadira,
Kuala Lumpur






------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt…

Adik Nadira. Semoga sentiasa sihat dan ceria selalu. Kak Roha bersimpati dengan apa yang menimpa Nadira.

Apa kata kita mulakan perkongsian ini dengan melihat dan memahami istilah cantik dan kecantikan itu sendiri. Berikut ialah antara takrifan daripada kamus dewan berkaitan dengan kecantikan.

Kata/Peribahasa Takrif Sumber
cantik indah, elok, bagus, molek, ayu, lawa, jelita, rupawan, juita, bergaya, berupa, kacak, tampan, gombang, kirana, mongel, laksemi, ganteng, jambu, manis, kecil molek, menawan, menarik, segak, jombang, anggun Tesaurus Bahasa Melayu Dewan (1998)

Manakala dalam buku “Anggun diluar, serlah pesona dari dalam” keluaran PTS, penulis memberikan pandangan bahawa kecantikan ialah, “Secara umumnya, cantik bergantung pada persepsi. Ada benda ataupun perkara dilihat cantik oleh sesetengah orang dan sesetengah yang lain tidak melihatnya sebagai cantik. Ada orang melihat barangan antik itu cantik dan ada yang tidak. Oleh sebab persepsi setiap individu pada maksud cantik berbeza-beza, maka tidak ada perkara yang konkrit dapat dikaitkan dengan cantik.

Sebenarnya setiap makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini adalah ciptaan yang sangat cantik. Manusia amat istimewa dan berlainan dengan makhluk lain. Rupa fizikal manusia memang cantik jika dibandingkan dengan ciptaan Allah yang lain. Disamping itu, cantik bukan sahaja merujuk kepada kecantikan fizikal semata-mata sebaliknya ia adalah kombinasi kecantikan fizikal, kualiti iman, keindahan akhlak serta kesempurnaan ibadah seseorang.

Sekurang-kurangnya seorang remaja yang cantik sepatutnya :



1. Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan - Pada usia muda, seseorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai.

2. Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng daripada kebenaran. Barangsiapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, ada pun orang yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahannam.” (Surah Al-Jin : 14-15)

3. Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat - Seseorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.”

4. Berilmu pengetahuan dan bermaklumat - Seseorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.

5. Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda - Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak yang sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah.

Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan menyerlahkan kecantikan seseorang remaja.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang berkata, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang.”

6. Lain-lain nilai - Nilai-nilai kecantikan yang lain ialah menghormati diri dan orang lain, berlaku adil, menjauhi maksiat, faham hak dan tanggungjawab sebagai rakyat, mesra alam dan prihatin dengan masalah sejagat.

Apa yang dikongsikan disini adalah untuk mengingatkan Nadira bahawa kecantikan bukan sekadar pada bentuk fizikal dan rupa paras semata. Dengan melaksanakan beberapa panduan seperti di atas, Nadira juga mampu menjadi gadis yang sangat cantik.

Roha Hassan
SUK Wanita JIM Pusat


Baca Selanjutnya »»

jomGaleri