jomPROMO ESQ-RS!!



jomSHARING

Dia Juga Berhak Dicintai



Remajaku! Aku pasti dirimu dipenuhi perasaan cinta. Cinta pada Dia. Cinta pada dier. Cinta pada mak abah. Cinta pada cikgu. Cinta pada atok opah. Cinta pada adik kakak. Cinta pada handphone. Cinta pada segala yang indahhhhhhhhhhh.

Namun, sedarkah dirimu, "dia juga berhak untuk dicintai"...Jom kita fahami peranan kita terhadap "dia".

---------------------------------------------------------------------------------
MIRACLE Bantu Remaja Hargai Alam Sekitar Sambil Jadi Usahawan
Oleh Nor Hashimah Ismail

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Masa depan alam sekitar dunia terletak di tangan generasi muda dan harapan pula begitu menggunung untuk melihat penglibatan golongan ini dalam mencapai matlamat itu.

Menyedari akan pentingnya peranan itu di kalangan generasi muda, Association Internationale des etudiants en Sciences Economiques et commercials (AIESEC) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), telah mengadakan pelbagai program untuk mewujudkan kesedaran terhadap alam sekitar di kalangan belia di Malaysia.

Bersempena dengan kempen memelihara dan memulihara alam sekitar tahun 2008, AIESEC-UPM telah melancarkan program Pengalaman Pembelajaran Interaktif Budaya Malaysia (MIRACLE), dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi untuk melibatkan remaja dengan pengetahuan keusahawanan yang menjurus kepada menghargai alam sekitar.

AIESEC, adalah sebuah organisasi pelajar yang terbesar di dunia melibatkan lebih 1,100 universiti dari 105 buah negara. Ia menjadi landasan di peringkat antarabangsa bagi remaja untuk membina dan menanam sifat positif terhadap masyarakat dan alam sekitar.

KEUSAHAWANAN ALAM SEKITAR

Dengan objektif untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi tentang alam sekitar di kalangan remaja, program MIRACLE edisi kelima telah diadakan baru-baru ini. Sejumlah pelajar dari seluruh negara dijemput menyertai delegasi AIESEC dari luar negara untuk bersama-sama menanam pokok Jarak atau nama saintifiknya "Jatropha".

Pokok Jarak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kerana ia boleh menghasilkan sejenis bahan kimia Bio-Diesel dan gliserol yang boleh menggantikan petroleum, yang turut dapat memelihara alam sekitar.

Buah daripada pokok ini juga boleh digunakan untuk menghasilkan kosmetik. Pokok jarak, yang sesuai ditanam dalam iklim tropika, mula menghasilkan buah dalam tempoh enam bulan dan mempunyai jangka hayat sekitar 45 tahun.

Minyak yang dihasilkan daripada buah jatropha telah banyak digunakan di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Penanaman yang dilakukan di tapak bersebelahan padang Golf UPM dan di belakang Hospital Serdang ini diharap dapat meningkatkan biodiversiti tanaman hijau di sini.

Para pelajar yang terlibat turut diajar mengenai keusahawanan menerusi penggunaan maksimum sumber alam semula jadi.

Kumpulan pelajar berkenaan juga didedahkan mengenai kegunaan buah, daun, biji dan kulit batang pokok jatropha yang mempunyai tinggi nilai ekonomi.

Menurut Pengarah Projek MIRACLE, Carol Teoh, 20, setiap pokok itu akan dijadikan anak angkat kepada setiap pelajar berkenaan.

Beliau berkata, program itu bertujuan mendidik dan memupuk kesedaran dan kefahaman di kalangan remaja tentang pentingnya usaha memulihara alam sekitar seiring dengan memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

PENGLIBATAN ANTARABANGSA

Projek MIRACLES pada tahun yang kelima ini menyaksikan penglibatan enam pelatih antarabangsa - Cynthia Gagnon Tremblay, Marieke lenders, Michael Fountain, Nikhila Cholleti, Ravishanker dan Muohanad Rabie Yususef Elrabie.

Mereka yang mewakili AIESEC turut melakukan program yang sama di tiga buah sekolah terpilih iaitu SMK Bukit Jelutung, SMK Seksyen 24 dan SMK Saujana Impian, Kajang.

Kumpulan pelatih itu juga melawat rumah anak-anak yatim seperti Rumah Tiratana di Salak Selatan, Our Family Home dekat Kajang dan Desa amal Jirih di Semenyih.

AJAR, PERKASA DAN IMPAK

Seorang lagi ahli projek MIRACLE, Nadzirah Salahuddin, 22, menjelaskan bahawa projek berkenaan turut memperkenalkan konsep ajar, perkasa dan impak.

Adalah diharapkan projek MIRACLE ini dapat memperkasa dan menguatkan lagi fahaman remaja terhadap bidang keusahawan di samping memelihara dan memulihara alam sekitar.

"Harapan kami agar projek ini dapat mendidik minat para remaja dengan menghargai dan memulihara alam sekitar di samping menanam minat terhadap bidang keusahawanan", kata Carol.

Program MIRACLE ini akan berakhir pada 23 Jun ini.

-- BERNAMA

Baca Selanjutnya »»

JomSHARING

We Are The Future



Zaman remaja merupakan waktu manusia paling cerdas fizikal dan pemikiran, semangat mencuba yang tinggi, dan kesanggupan tanpa batas dalam mengambil sesuatu risiko. Zaman yang sepatutnya digunakan untuk memanfaatkan kehidupannya dan kehidupan alam sekelilingnya kerana ia adalah jambatan antara alam kanak-kanak dan dewasa.

Rasulullah s.a.w menyebut dengan jelas tentang faedah usia muda, kekuatan serta kesihatan dalam hadith baginda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima keadaan; masa muda mu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kekayaan mu sebelum kefakiran mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu" (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Jika kita fikirkan, masa muda inilah, masa yang paling sesuai untuk memulakan langkah, mencorak kehidupan dan masyarakat. Pada peringkat inilah, seseorang itu mempunyai masa dan tenaga untuk menyumbang pada kebaikan.

Menyumbang dan memberi khidmat adalah menjadi tuntutan masyarakat dan agama. Kita singkap kembali sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w, di mana para pemuda dan pemudi di masa itu giat menyumbangkan khidmat mereka untuk kebaikan agama dan masyarakat.

Contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Saiyidina Ali ibn Abi Talib, Bilal ibn Rabah, Ammar ibn Yasir dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan Saiyidatuna Aisyah, Asma’, Fatimah dan Ummu Salamah. Mereka adalah pemuda-pemudi yang mendukung da’wah Islamiah pada masa itu. Merekalah yang berusaha sedaya upaya untuk kemenangan Islam dan pembangunan masyarakat.

Mereka itulah generasi anak muda Islam yang terpuji akhlaknya. Dengan cinta mereka pada Islam dan kepada Rasulullah s.a.w. mereka berusaha, berkhidmat dan memberikan sumbangan demi kebaikan dan kesejahteraan manusia sejagat. Inilah identiti mereka, identiti golongan muda muslim yang sentiasa inginkan kebaikan.

Bagaimanakah pula kita sebagai golongan muda hari ini boleh berperanan? Berikut ialah beberapa cadangan untuk golongan muda berperanan supaya mereka menjadi aset dan bersedia untuk menjadi pemimpin masa depan;

1. Menuntut ilmu yang bermanfaat dengan bersungguh-sungguh – Ilmu adalah bekalan yang akan membawa kita kearah kegemilangan dan kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. Tanpa ilmu tidak mungkin lahir para pemimpin, golongan profesional, ahli perniagaan, para cendiakiawan yang ada pada hari ini. Ilmulah yang membezakan antara seorang insan dengan insan yang lain. Usia remaja adalah usia yang paling baik untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu melalui sistem pendidikan yang formal, iaitu di sekolah atau tidak formal di rumah, internet dan lain-lain.

2. Melibatkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat – Dengan tenaga yang banyak, golongan remaja memerlukan lebih banyak ruang dan aktiviti untuk menyalurkan tenaga mereka. Salurkanlah kekuatan yang ada dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat contohnya aktif bersukan, menolong ibu bapa dalam aktiviti harian atau pekerjaan, menggabungkan diri dengan persatuan dan kelab remaja dan belia seperti Kelab Remaja JIM, Rakan Muda, Kelab Rakan Siswa dan sebagainya.

3. Mejauhkan diri dari aktiviti yang membinasakan – Kebanyakan aktiviti yang remaja lakukan untuk tujuan mencari populariti, mendapatkan perhatian, keseronokan dan pemberontakan sebenarnya membinasakan diri mereka sendiri. Contohnya terlibat dengan dadah, mungkin untuk tujuan mencuba, terpengaruh dengan kawan atau berseronok tetapi yang musnah adalah diri mereka sendiri. Contoh lain pula ialah terlibat dengan aktiviti seks bebas mungkin sebagai pemberontakan terhadap ibubapa yang sibuk dan berseronok berakhir dengan diri sendiri yang dijangkiti aids atau hamil luar nikah.

4. Berbakti kepada ibu bapa, guru, masyarakat, negara dan agama – Ramai sekali contoh golongan muda yang memberikan bakti kepada negara sejak usia remaja lagi. Contohnya keluarga Sidek yang begitu istiqamah mengharum nama negara di arena badminton satu masa dahulu hingga ke hari ini, Shalin Zulkifli dalam sukan Bowling, Datuk Nicole Davis dan ramai lagi yang tidak tercatat namanya dalam artikel ini. Yang pasti setiap remaja berpotensi untuk berbakti. Berbaktilah kepada mereka yang paling hampir dan memerlukan disekeliling kita.

5. Mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab – Golongan remaja mesti sedar peranan besar yang menanti mereka di masa hadapan. Merekalah yang akan menerajui masa depan negara di masa depan. Sudah tentu persediaan fizikal, mental, emosi dan spiritual mestilah bermula pada hari ini.

~Nurdinie sufi~

Baca Selanjutnya »»

Jom Heboh

Jom Remaja Kita Kembara Mencari Bahagia di “Jom Remaja ESQ RS”





Bahagia! Bahagia! Bahagia! Satu ungkapan yang memiliki tafsiran yang pelbagai. Jika ingin disenaraikan, memang panjang senarainya.

Tapi remajaku, biar aku kongsikan beberapa pandangan insan-insan yang dikenali dan tidak dikenali tentang erti bahagia.

1. Aristoteles bila bercakap tentang bahagia mengatakan, "Bahagia itu adalah kesenangan yang dicapai oleh manusia."

2. Dale Carnegie pula menyatakan, "Hati yang bahagia dapat membuat muka tersenyum dan suara jadi bersahabat".

3. Martin Luther pernah mengungkapkan bahawa, "Kebahagiaan lebih banyak menipu dari kesusahan".

4. Abraham Lincoln pula pernah berkata, "Kebanyakan orang dapat berasa bahagia apabila mahu menjernihkan fikirannya".

5. Ibnu Kaldun pernah mengungkapkan kalimat ini bila menggambarkan maksud bahagia, "Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikuti garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan".

6. Abu Darda pula mengingatkan bahawa, "Kebahagiaan sejati adalah mengusai dunia dan bukan dikuasai dunia".

7. Joss Billings menyatakan bahawa, "Lelaki yang paling bahagia adalah yang beristerikan wanita yang baik".


Begitulah pendapat yang pelbagai dan berbeza tentang bahagia.

Namun kepelbagaian definasi ini tetap menjurus kepada satu nilai yang sama. Setiap insan berhak mengecap bahagia.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan pandangan Prof. Dr Hamka dalam bukunya yang bertajuk, Tasauf Moden".

Dalam membicarakan soal bahagia, Hamka mencatatkan dalam bukunya padangan berikut:

"Kalau kita perturutkan, setiap orang mempunyai kaedah tentang bahagia, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.

• Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan
• Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan
• Orang yang terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhenti dari dosa itulah kebahagiaan
• Seorang yang sedang rindu dan bercinta mengatakan bertemu dengan kekasih itulah bahagia
• Seorang pemimpin rakyat berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.
• Seorang perawan dusun bernama Asma binti Bahdad, yang dikahwini oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, berkeyakinan bahawa bahagia itu adalah kembali kedusunnya, di dalam pondoknya yang buruk, walaupun sekarang dia dalam istana yang indah.
• Seorang pengarang syair merasa bahagia jika syairnya jadi hafalan orang.
• Seorang wartawan merasa bahagia jika surat khabarnya dan tulisannya difahami orang."


Begitupun betapa manusia tu berbeda keinginan bahagianya, Imam al-Ghazali mengungkapkan kalimah berikut dalam memberikan jaminan kebahagian sejati kepada manusia.
Insan yang mulia itu mengungkapkan bahawa, "Bahagia dan kelazatan sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah".

Jom remajaku, kita cari bahagia dengan Kembara ESQ RS di Hotel The Summit pada 23 & 24 Ogos 2008 nanti.

-Nurdinie Sufi at http://j0mlepak.blogspot.com

Baca Selanjutnya »»

Jom SHARING

Indahnya Dirimu...Siapa Yang Menciptamu








Saksikanlah keindahan alam ini. Tidakkah kau ingin mengetahui siapa yang menciptanya.


Baca Selanjutnya »»

Jom TANYA

Anda Bijak Jauhi Zina

SESI BERTANYA bersama nurdinie sufi.

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan "Kak Roha Sudi Mendengar" akhbar Sinar Harian.

Soalan

Assalamualaikum wbt

Saya adalah seorang mahasisiwi di sebuah IPT. Saya memiliki teman rapat yang memiliki teman lelaki. Hubungan mereka seperti 'belangkas'. Teman rapat saya
merupakan seorang pelajar yang pintar dan beberapa kali telah menerima hadiah kecemerlangan pelajaran. Dia juga telah memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali terlanjur dengan pasangannya. Memang saya tidak merestui perbuatannya. Malahan akhir-akhir ini saya melihat terdapat beberapa perubahan ketara pada dirinya. Sebagai teman, saya jadi gundah. Saya risau dia akan hamil. Lagipun ia satu perbuatan yang berdosa. Mohon input untuk saya membantu teman saya ini. Saya juga ingin membantu kawan-kawan lain yang bersikap seperti teman rapat saya ini. Terimakasih.

Nuraliyah, Selangor


Jawapan

Waalaikummussalam wbt

Teman yang baik ialah teman yang gembira melihat temannya bahagia serta melakukan kebajikan. Dalam masa yang sama akan rasa sedih dan gundah bila melihat temannya berada dalam kesedihan atau melakukan perbuatan mungkar.

Jadi, memang wajar untuk saudari memberikan nasihat dan peringatan kepada teman yang lain. Terutamanya dalam perihal yang boleh memudaratkan diri serta masa depan mereka. Berilah nasihat dan peringatan mengikut kemampuan kita masing-masing. Mudah-mudahan, ada hati yang diberikan hidayah oleh Allah atas nasihat yang kita berikan.

Berkaitan dengan perbuatan teman rapat saudari, Kak Roha ingin kongsikan beberapa peringatan yang mungkin boleh membantu saudari ketika memberikan peringatan kepada beliau.

Allah berfirman dengan maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Al-Israk : 32-33)

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja dan belia harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat!

Apakah kesan bagi remaja dan belia IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?

1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka. Kasihan pada ibubapa dan keluarga yang bekerja keras memastikan kita berjaya hingga ke IPT. Alangkah pilu anak yang ditatang bagai minyak yang penuh menconteng arang ke wajah mereka. Apabila dibuang keluarga, tentu hidup individu ini akan terbiar. Betapa sedih dan sukar hidup tanpa keluarga.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil. Pernikahan secara tergesa-gesa sudah pasti mengundang pelbagai kegawatan selepas itu. Mulalah kedua pihak saling ungkit mengungkit dan tuduh menuduh apabila menghadapi perlbagai rintangan mendatang.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri. Kisah si lelaki yang melarikan diri apabila pasangannya hamil bukan kisah baru atau khayalan. Perkara ini memang sering berlaku dalam masyarakat. Tinggallah si gadis menanggung segala keperitan dan penderitaan seorang diri.

7. Gangguan mental juga boleh dialami oleh remaja atau belia perempuan yang melalui senario ini apabila memikirkan masa depannya yang gelap.

Melihatkan kepada kesan-kesan buruk yang begitu banyak. Lebih bijak untuk remaja dan belia menjauhi zina. Untuk yang sudah terlanjur, bertaubat,berkahwin dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat mereka yang benar-benar mahu membersihkan diri mereka dari dosa dan noda.

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri