jomPROMO ESQ-RS!!



jomSEMBANG

Wahai Generasi XYZ (part 1)






Kelompok Generasi (melalui kajian di Amerika)

1st Generation / Greatest Generation (1910-1942)
Generasi Perang Dunia Kedua. Datuk nenek kita lah kebanyakannya dari generasi ini. Mungkin ada di antara kita yang ibu bapanya lahir dalam tempoh ini.


2. Baby Boomers (1943-1956)
Generasi pasca Perang Dunia II. Kebanyakan mereka bekerja kerajaan atau makan gaji dan akan pencen sekitar 2000-2012.

3. Baby Busters (1957-1969)
Generasi "moden". Ia dipanggil baby busters kerana zaman ini jumlah kelahiran bayi adalah berlawanan dengan baby boomers. Mungkin waktu ni zaman peperangan sudah berlalu. Orang kuat bekerja dan masa dengan keluarga dah kurang sedikit.



4. Generasi-X (1970-1985)
Generasi Peralihan Gen-X ke Gen-Y. peralihan sebelum masuk ke generasi internet. Mereka membesar pada zaman 80an. Barangkali mereka lebih celik dan kedepan dalam bab komputer dan internet sebab semasa usia remaja mereka ia sudah diperkenalkan

5. Generasi-Y (1986-2000)
Lahir sahaja, Soviet Union dah jatuh. Amerika dah jadi kuasa tunggal. Inilah permulaan generasi internet. Generasi yang celik-celik dah kenal playstation, x-box dan seumpamanya. Generasi permulaan information age.



 Mereka yang sedang meningkat remaja sekarang. Generasi muda ini berumur antara 15 hingga 34 tahun (generasi X dan Y) mewakili 35 peratus penduduk di Asia.
 Generasi yang lahir ketika Internet sedang berkembang.
 Generasi digital
 Generasi-Y mengutamakan kedamaian dan cara hidup mereka sendiri.
 Mereka tidak mempedulikan orang lain. yang membesar dan dibesarkan dalam dunia digital. Komputer, televisyen, permainan video, Internet, telefon bimbit dan segala macam peralatan digital dan telekomunikasi menjadi sebahagian dari dunia mereka.
 Google generation, MySpace generation,The gamers generation, The connected generation
 Kehidupan ini mempengaruhi cara mereka berfikir, belajar, bertindak dan berinteraksi. Hakikatnya, sememangnya terdapat jurang perbezaan antara generasi Y dan generasi sebelumnya.
 Satu kajian menganggarkan bahawa anak-anak remaja ini menghabiskan selama 40 jam seminggu di hadapan peralatan digital seperti komputer, televisyen, telefon bimbit dan iPod.


6. Generasi-Z (2001-?)

Generasi paling baru. Tidak sempat melihat runtuhnya WTC. Tahu-tahu, Amerika sudah jadi ketua kempen anti keganasan. Celik-celik sudah ada email. Ketika emak masak, letak dalam buaian tengok Astro, tengok AF. Tak boleh hidup tanpa handphone. Main bola guna kotak & kertas?

……………. Bersambung….

~ Disusun oleh FM & RH~

Baca Selanjutnya »»

jomSEMBANG


Menjadi Popular Adalah Satu Tekanan

Soalan

Beberapa minggu yang lalu saya telah membaca penulisan Kak Roha berkaitan dengan rakan sebaya. Bolehkah Kak Roha memberikan beberapa contoh tekanan oleh rakan sebaya yang boleh dijadikan panduan. Kalau boleh sertakan sekali cara penyelesaiannya.

Nana,
Kuala Lumpur


============================================================
Jawapan
Assalamualaikum wbt…

Saudari Nana,

Selamat berpuasa dan beribadah.

Bercakap tentang tekanan ni, memanglah ada pelbagai jenis. Tambahan pula daripada insan yang terhampir dengan kita, contohnya rakan sebaya. Contoh-contoh tekanan yang dikongsikan di sini hendaklah diterima sebagai langkah kita menjadi rakan yang lebih baik kepada yang lain. Dalam masa yang sama, ia sedikit sebanyak mampu mengukuhkan pegangan kita bila menghadapi cabaran ini.

Diantara contoh-contoh tekanan rakan sebaya adalah seperti berikut:

1. Populariti – Keinginan untuk menjadi popular adalah keinginan setiap remaja. Melihatkan rakan sebaya yang popular di sekolah membuatkan remaja kita tertekan dan irihati. Lebih-lebih lagi populariti itu melibatkan kecantikan dan kemewahan rakan yang lain. Keinginan untuk popular boleh mendorong remaja melakukan apa sahaja. Kadang-kadang perkara yang tidak logik dan memudaratkan. Yang penting mereka jadi popular!

Sikap sesebuah masyarakat amat mempengaruhi populariti remaja. Masyarakat hari ini sering menganggap remaja yang cantik dan cerdik sebagai remaja yang popular. Sudah tentu pandangan seumpama ini akan memberikan tekanan kepada remaja yang kurang cantik dan serba kekurangan.

Dorongan untuk menjadi popular ini boleh mengundang kemusnahan pada remaja sekiranya tidak diarahkan ke jalan yang betul. Keadaan bertambah parah jika ibu bapa, guru dan rakan-rakan membandingkan remaja yang tidak popuar dengan remaja yang popular.

2. Jenama dan kemewahan – Keghairahan menonjolkan gaya hidup mewah dan bergaya banyak memberikan kesan buruk kepada remaja. Disokong oleh papan-papan iklan (”billboard”) yang menghiasi pinggir jalanraya dan lebuhraya membentuk keinginan terhadap gaya hidup bermewah mewah dikalangan remaja.

Dari t-shirt hinggalah ke telefon bimbit, semuanya punya jenama tertentu. Persaingan untuk memiliki telefon bimbit dan pakaian berjenama kadangkala mengundang kepada masalah gejala sosial yang merosakkan. Contohnya mencuri atau melakukan kerja-kerja yang tidak halal asalkan dapat memiliki barangan berjenama dan hidup mewah.

3. Gejala sosial yang merosakkan – Pesanan Syaidina Umar tentang sahabat, ”Tidak ada sahabat yang dapat dipercayai apabila dia tidak takut kepada Allah”. Memiliki rakan-rakan yang cenderung melakukan kegiatan yang tidak sihat adalah satu bencana untuk remaja. Remaja adalah golongan yang mudah dipengaruhi. Berkawan dengan pembohong, kemungkinan besar kita akan jadi pembohong juga. Bertemankan pencuri, lama-kelamaan tidak mustahil kita akan menjadi pencuri di satu hari kelak.

Lebih teruk bila berkawan dengan perokok dan penagih dadah. Tidak mustahil kita pula yang ingin cuba merokok dan menghisap dadah. Aktiviti yang asalnya sekadar suka-suka, akhirnya bertukar menjadi duka.

4. Tidak tahu berkata tidak – Kadangkala ada remaja yang sedar apa yang dilakukan oleh rakan sebaya adalah salah. Sahabat karib sendiri kadangkala tidak mampu ditolak. Permintaan untuk keluar berfoya-foya atau ponteng sekolah sukar ditolak.

Contohnya remaja perempuan yang tidak mampu menolak apabila diajak oleh rakan menemani beliau menemui teman lelakinya. Bermula dari situ, remaja yang asalnya tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh rakannya pula yang akhirnya mempunyai teman lelaki yang kemudiannya terbabit sama dengan dosa dan noda.

Kegagalan berkata tidak terhadap permintaan teman adalah satu tekanan yang sangat besar!

5. Budaya buli membuli – Rakan sebaya yang lebih kuat dari sudut fizikal kadangkala cenderung membuli remaja kita yang agak lemah atau bersaiz lebih kecil. Budaya membuli yang tidak dibendung amat merbahaya dan boleh mengundang maut.

Bayangkan betapa tertekannya remaja kita yang setiap hari berhadapan dengan rakan-rakan sebaya yang mencuri hartanya dan mengugut keselamatannya.


Contoh-contoh diatas hanyalah secebis daripada pelbagai cabaran oleh rakan sebaya. Yang paling penting, kita mesti memiliki kekuatan dan keyakinan diri untuk menghadapi segala tekanan ini.

Berkata tidak adalah sesuatu yang sukar, terutamanya terhadap sahabat karib. Ia satu dilema bukan sahaja terhadap remaja malahan golongan dewasa.

Namun, kebijaksanaan untuk menyatakan tidak apabila perlu banyak membantu remaja membina jatidiri. Remaja yang memiliki jatidiri yang ori (”Original”) atau sejati sukar dipengaruhi dengan anasir-anasir yang kurang sihat.

Walaupun kita sayangkan rakan atau sahabat, tidak perlulah diikuti jejak dan perbuatan salah yang mereka lakukan. Sepatutnya berikanlah nasihat dan peringatan yang baik sekiranya mampu.

Roha Hassan

Baca Selanjutnya »»

JomKREATIF


Sambutlah Ramadhan


Sambutlah Ramadhan
sebagai bulan utama
bukan sekadar persinggahan sebelum Raya



Sambutlah Ramadhan
sebagai bulan ibadah
bukan pesta makanan sedunia

Sambutlah Ramadhan
dengan amalan yang baik dan sempurna
dengan solah dan sadaqah
dengan zikir dan tilawah

Semoga Ramadhan kali ini akan mendorong kita
menjadi lebih pemurah dan ikhlas
lebih sabar dan lebih beriman

Semoga Ramadhan kali ini akan semarak
di seluruh dubia dan dalam diri kita.

Baca Selanjutnya »»

JomSHARING

Adakah Kita Generasi Merdeka



Setiap tahun tanggal 31 Ogos akan dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun ini rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke 51. Pada dasarnya tempoh 51 tahun merupakan jangkamasa yang sudah memadai untuk mematangkan setiap warga yang merdeka. Pastinya Hari Kebangsaan juga merupakan sesuatu yang sangat bermakna dan bernilai untuk golongan muda walaupun tidak terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan oleh nenek moyang kita dahulu.


Kemerdekaan bermaksud kebebasan dan kemampuan melakukan sesuatu tanpa sekatan atau halangan atau kongkongan belenggu oleh sesuatu (sila lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)

Mungkinkah tokoh kemerdekaan seperti Almarhum Dr. Burhanuddin al Hilmi, Mat Kilau, Datuk Onn Jaafar dan ramai lagi dikenali dan dapat dijadikan contoh oleh generasi muda sebagai pejuang tanahair dan pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanahair.

Setiap perjuangan menuntut kemerdekaan memerlukan kegigihan dan pengorbanan yang amat besar. Banyak sekali pengorbanan yang dicurahkan oleh ramai insan demi kemerdekaan. Airmata, darah, keringat, tenaga, wang ringgit, harta benda dan nyawa dikorbankan tanpa mengharapkan balasan melainkan kebebasan.

Namun, sejauh manakah generasi hari ini menghargai perjuangan nenek moyang kita membebaskan tanahair kita dari belenggu bangsa asing sehingga Malaysia akhirnya dimerdekakan pada 31 Ogos 1957. Setelah 51 tahun berlalu, apakah yang nikmat kemerdekaan memberikan makna dalam setiap tindakan generasi muda ini?

Hakikatnya, kemerdekaan bukanlah sesuatu yang cukup sekadar dilakarkan dalam lakaran sejarah atau diraikan tahun demi tahun tanpa penghayatan yang sebenar.
Sebagai generasi muda, remaja dan belia mesti dididik untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang diperolehi ini. Di sini, dikongsikan beberapa cadangan bagaimana golongan muda boleh menghargai kemerdekaan yang kita miliki hari ini.
Antaranya;

1. Merdekakan Minda - Kemerdekaan tanahair tidak akan membawa makna yang mendalam sekiranya kita sebagai sebagai rakyat tidak memerdekakan minda kita dari penjajahan budaya yang negatif dan merosakkan. Selaku bangsa yang berdaulat, rakyat Malaysia memiliki adab, nilai-nilai murni dan budaya tersendiri. Dengan membebaskan diri dari belenggu jajahan budaya yang merosakkan, barulah kita menjadi generasi yang benar-benar bebas dan merdeka.

2. Bersyukur dan Menghargai Kemerdekaan - Bersyukur dan menghargai kemerdekaan boleh diterjemahkan oleh generasi muda melalui kesungguhan mereka menuntut ilmu dan belajar bersungguh tidak kira dimanapun mereka berada. Hanya dengan ilmu, kita akan dipandang mulia dan mampu bersaing dalam dunia yang penuh mencabar ini.

3. Bersungguh-sungguh Kearah Kemajuan - Memajukan diri dari segenap sudut setara dengan kemajuan material yang ada selepas Malaysia merdeka. Pembangunan setara yang dimaksudkan ialah pembangunan seimbang dari segenap aspek fizikal, emosi dan spiritual. Golongan muda mestilah bersungguh-sungguh memajukan diri dalam apa jua bidang yang mampu memajukan negara, bangsa dan agama. Sikap cukup dengan apa yang ada adalah sikap yang tidak akan membawa kita lebih jauh dan maju kehadapan. Golongan muda mesti lebih bersungguh-sungguh memajukan diri, keluarga dan masyarakat.

4. Sentiasa Bersedia Menghadapi Cabaran - Golongan muda mesti sentiasa bersiap siaga untuk mengharungi segala cabaran yang ada atau yang mendatang. Kelalaian dan keselesaan dengan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan akan menjadikan kita bangsa yang lemah dan mundur. Sepatutnya semakin lama kita merdeka semakin kita bersedia membawa Malaysia ke puncak persada antarabangsa.

5. Sejarah Turun Temurun – Sejarah dan perjuangan nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan mestilah disampaikan dengan tepat dan berterusan dari generasi ke generasi akan datang. Tujuannya agar mereka menghargai serta menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh para pejuang kemerdekaan. Dengan ini mereka akan bertambah sayang pada tanahair dan bersedia mempertahankan nikmat kemerdekaan yang diperolehi.

~Nurdinie Sufi~

Baca Selanjutnya »»

JomSHARING

Muzik! Muzik! Muzik!



Sedari kecil lagi, kita dibuai dan didodoi oleh ibu tersayang dengan dodoian dan lagu kasih sayang permata hatinya. Tanpa lagu dan dodoian ibu, si anak kecil susah nak tidur. Apabila kita masuk sekolah, kita diajar pula dengan lagu ‘Bek Bek Kambing Hitam Adakah Bulu?’, apabila besar sedikit kita telah pandai menyanyi lagu ‘Negaraku’. Setelah meningkat remaja, kita mula menyanyikan lagu-lagu cinta. Apabila mencecah usia emas, lagu-lagu instrumental nostalgia menjadi pilihan.


Jadi, kehidupan kita akan merasa sunyi tanpa irama dan lagu. Terasa pincang jika irama dan lagu dipisahkan dalam rutin harian kehidupan.
Apakah hukum memainkan alat muzik itu harus? Apakah mendengar muzik dalam bentuk instrumental tanpa nyanyian itu haram? Apa pula hukumnya mendengar muzik beserta nyanyian? Bagaimana pula mendengar nyanyian bersilang jantina? Seterusnya kalau mendengar muzik dan nyanyian itu diharuskan, apakah ia boleh dikira sebagai ibadah sehingga seseorang yang mendengar muzik dan nyanyian akan mendapat ganjaran pahala?
Pastinya sebagai sumber hukum dalam sebuah agama yang lengkap dan sesuai untuk semua tempat, orang dan zaman, Al-Quran tidak mengabaikan walau sedikit pun urusan manusia. Pasti ada hukumnya. Begitu juga dengan persoalan-persoalan yang dilontarkan di atas.
Penulisan-penulisan fiqh klasik membahagikan alat muzik kepada dua; yang bertali dan tidak bertali. Penggunaan alat muzik yang bertali dihukumkan haram, manakala yang tidak bertali pula sebagai harus.
Namun demikian, kajian dan penulisan fiqh terkini tidak melihat kepada sudut jenis alat muzik, tetapi ia melihat kepada rentak dan irama yang dihasilkan oleh alat tersebut. Adakah ia merangsang pendengarnya sehingga lalai, lupa diri dan lupa Allah? Atau adakah ia merangsang pendengarnya sehingga dapat menaikkan semangat patriotik, rasa sedar diri dan ketakwaan kepada Allah?
Jenis yang pertama dikira haram, manakala yang kedua dikira harus. Jadinya hukum asal menggunakan alat muzik adalah harus, samada dipetik, dipukul, digesek, ditiup dan sebagainya. Apa yang mengharam atau mengharuskannya ialah cara penggunaannya yang melahirkan rentak, lagu dan irama.
Kadangkala alat muzik dimainkan dengan iringan penyanyi. Dalam hubungan ini, selain daripada bentuk rentak, lagu dan irama, cara persembahan penyanyi dan lirik nyanyian juga perlu dilihat sama. Jika ia dipersembahkan dengan penampilan yang menghairahkan, merangsang nafsu dan syahwat, sehingga lupa diri dan Allah, ia tidak diharuskan. Begitu juga lirik lagu yang lucah, memuji sesuatu yang haram, mengagungkan syaitan dan syawat dan cinta berahi yang keterlaluan, ungkapan-ungkapan syirik dan kufur, dan lirik-lirik yang bercanggah dengan semangat syariat, maka hukumnya haram.
Mendengar muzik berlaku dalam pelbagai bentuk; mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyikan lagu, dan sebagainya. Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘bersyarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, dan membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.
Selain daripada sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan si pendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlaluan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan mengubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata, dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.
Keadaan hukum ‘harus’ mendengar muzik, nyanyian dan menonton persembahan penyanyi boleh disimpulkan seperti berikut:
1. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya merangsang semangat berani, gagah-perkasa dan patriotik, contohnya rentak ‘march’.
2. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meniupkan rasa keinsafan, sedar diri, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah.
3. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenangkan jiwa, meredakan tekanan perasan, menghilangkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasad dan emosi.
Jadi, bolehkah mendengar muzik itu menjadi ibadah? Untuk semua perbuatan boleh dikira sebagi ibadah, ia mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Perbuatan itu diterima syarak.
2. Perbuatan itu dilakukan menurut tuntutan dan peraturan syarak.
3. Perbutan itu dilakukan ikhlas kerana Allah.
4. Perbuatan itu dilakukan oleh Muslim.

Dalam konteks mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan dengan rentak, irama, lagu dan liriknya, selagimana memenuhi empat syarat di atas, ia boleh dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Jika ia tidak memenuhi syarat-syarat ini, maka ia tidak lagi dianggap sebagai ibadah, malah termasuk sebagai perbuatan yang sia-sia dan dilarang di sisi syarak.

~ Petikan Dari Buku Aku Ori Bukan Fotokopi~

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri