jomPROMO ESQ-RS!!



Jom TANYA

Anda Bijak Jauhi Zina

SESI BERTANYA bersama nurdinie sufi.

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan "Kak Roha Sudi Mendengar" akhbar Sinar Harian.

Soalan

Assalamualaikum wbt

Saya adalah seorang mahasisiwi di sebuah IPT. Saya memiliki teman rapat yang memiliki teman lelaki. Hubungan mereka seperti 'belangkas'. Teman rapat saya
merupakan seorang pelajar yang pintar dan beberapa kali telah menerima hadiah kecemerlangan pelajaran. Dia juga telah memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali terlanjur dengan pasangannya. Memang saya tidak merestui perbuatannya. Malahan akhir-akhir ini saya melihat terdapat beberapa perubahan ketara pada dirinya. Sebagai teman, saya jadi gundah. Saya risau dia akan hamil. Lagipun ia satu perbuatan yang berdosa. Mohon input untuk saya membantu teman saya ini. Saya juga ingin membantu kawan-kawan lain yang bersikap seperti teman rapat saya ini. Terimakasih.

Nuraliyah, Selangor


Jawapan

Waalaikummussalam wbt

Teman yang baik ialah teman yang gembira melihat temannya bahagia serta melakukan kebajikan. Dalam masa yang sama akan rasa sedih dan gundah bila melihat temannya berada dalam kesedihan atau melakukan perbuatan mungkar.

Jadi, memang wajar untuk saudari memberikan nasihat dan peringatan kepada teman yang lain. Terutamanya dalam perihal yang boleh memudaratkan diri serta masa depan mereka. Berilah nasihat dan peringatan mengikut kemampuan kita masing-masing. Mudah-mudahan, ada hati yang diberikan hidayah oleh Allah atas nasihat yang kita berikan.

Berkaitan dengan perbuatan teman rapat saudari, Kak Roha ingin kongsikan beberapa peringatan yang mungkin boleh membantu saudari ketika memberikan peringatan kepada beliau.

Allah berfirman dengan maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Al-Israk : 32-33)

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja dan belia harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat!

Apakah kesan bagi remaja dan belia IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?

1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka. Kasihan pada ibubapa dan keluarga yang bekerja keras memastikan kita berjaya hingga ke IPT. Alangkah pilu anak yang ditatang bagai minyak yang penuh menconteng arang ke wajah mereka. Apabila dibuang keluarga, tentu hidup individu ini akan terbiar. Betapa sedih dan sukar hidup tanpa keluarga.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil. Pernikahan secara tergesa-gesa sudah pasti mengundang pelbagai kegawatan selepas itu. Mulalah kedua pihak saling ungkit mengungkit dan tuduh menuduh apabila menghadapi perlbagai rintangan mendatang.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri. Kisah si lelaki yang melarikan diri apabila pasangannya hamil bukan kisah baru atau khayalan. Perkara ini memang sering berlaku dalam masyarakat. Tinggallah si gadis menanggung segala keperitan dan penderitaan seorang diri.

7. Gangguan mental juga boleh dialami oleh remaja atau belia perempuan yang melalui senario ini apabila memikirkan masa depannya yang gelap.

Melihatkan kepada kesan-kesan buruk yang begitu banyak. Lebih bijak untuk remaja dan belia menjauhi zina. Untuk yang sudah terlanjur, bertaubat,berkahwin dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat mereka yang benar-benar mahu membersihkan diri mereka dari dosa dan noda.

Baca Selanjutnya »»

Jom HEBOH

Jom Remaja ESQ_RS - Jom Tengok Aksi Angkatan Pertama

Salam...

Inilah antara aksi-aksi menarik sepanjang ESQ_RS Angkatan Pertama yang diadakan pada 26-27 Julai 2008 di Hotel Flaminggo.







Jom Remaja ESQ_RS. Program akan datang ialah pada :
1. 19 dan 20 Ogos 2008 - Public bertempat di Hotel Flaminggo, Ampang Selangor.

2. 23 dan 24 Ogos 2008 - Jom Remaja ESQ_RS bertempat di Hotel The Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


Nurdinie Sufi


Baca Selanjutnya »»

Jom TANYA

SESI BERTANYA bersama nurdinie sufi.

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan "Kak Roha Sudi Mendengar" akhbar Sinar Harian.

Soalan

Assalamualaikum. Saya adalah seorang remaja yang cemerlang dalam pelajaran dan dididik dengan baik oleh keluarga. Saya tahu banyak perihal agama. Cuma masalahnya, saya sering teringin melakukan perbuatan yang tidak baik setiap kali saya berseorangan atau memiliki masa lapang. Dan perkara ini amat menyiksa perasaan saya. Saya amat berharap input dan panduan dari Kak Roha dalam menghadapi cabaran ini.

Gadis Aries,
Cheras



Jawapan

Waalaikummussalam wbt...

Saudari ”Gadis Aries” yang dikasihi,

Pertama sekali Kak Roha ingin mengucapkan tahniah. Kenapa ucapan tahniah? Tahniah diatas kesungguhan saudari memperbaiki diri. Mengenali dan memahami kelemahan dan kekurangan diri sendiri, bukanlah satu proses yang mudah. Hanya orang-orang yang mulia dan terpilih sahaja yang sentiasa muhasabah diri dan mencari peluang untuk memperbaiki diri.

Perasan teringin untuk melakukan kebaikan dan keburukan yang ada dalam diri manusia bukanlah sesuatu yang aneh. Peperangan antara, kebaikan dan keburukan sentiasa berlaku dalam diri manusia. Hanya manusia yang maksum sahaja yang terlindung dari keinginan untuk melakukan keburukan atau lebih mudah ditafsirkan sebagai dosa. Kak Roha tidak tahu dengan tepat keburukan yang saudari maksudkan. Jadi, Kak Roha akan masukkan ia dalam kategori umum iaitu dosa dan maksiat.

Perihal ini turut disebutkan dalam ayat-ayat Al Quran contohnya dalam surah al Syams ayat 8 bermaksud: ‘Maka Dia telah mengilhamkan setiap jiwa kejahatan dan ketaqwaan’.

Namun, perihal ini tidak pula boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk melakukan dosa dan maksiat sewenang-wenangnya. Banyak sekali ayat-ayat Allah dalam Al-Quran menjelaskan bagaimana, setiap perbuatan baik dan jahat itu akan dibalas oleh Allah swt diakhirat kelak. Didunia pula, perbuatan jahat akan memberikan kesan buruk kepada pelakunya, begitu juga sebaliknya, perbuatan baik akan membawa kebaikan kepada pelakunya.

Oleh itu saya ingin mencadangkan beberapa panduan dan perkongsian dengan saudari dengan harapan mudah-mudahan ia dapat meringankan penderitaan saudari dalam menanggung perihal ini.

Kenali Diri – Sentiasa berusaha mengenali diri dengan soalan-soalan berikut. Siapa aku? Apa tujuan hidupku? Ke mana tujuanku? Apa visi dan misi hidupku? Siapa yang menjadikan aku? Kenapa aku dijadikan? Ke mana tujuan aku selepas kematianku dan segala persoalan yang boleh menjadikan kita lebih memahami diri sendiri hendaklah sentiasa diajukan. Mengenali diri akan memudahkan kita mengawal diri sendiri.

Memperbanyakkan Mengingati Allah – Solat, zikir, membaca al-Quran serta mengerjakan solat adalah antara amalan untuk mendekatkan kita kepada Allah. Dengan mendekatkan diri kita kepada Allah, secara tidak langsung menjauhkan kita daripada hasutan dan rayuan syaitan yang merupakan musuh utama manusia.

Menyenaraikan Akibat Perbuatan Buruk Sebelum Melakukannya – Sekiranya kita memiliki waktu dan kesempatan sebelum melakukan sesuatu dosa atau maksiat. Hitung dan senaraikan dulu keburukan dan kemusnahan akibat perbuatan tersebut. Contohnya ingin mencuri. Senaraikan dulu, akibat dan kesan mencuri. Ingin menipu guru dan ibubapa, senaraikan dulu, akibat buruk dari perbuatan itu. Barangkali dengan cara ini, niat jahat itu dapat ditundukan.

Memperbanyakkan Amal Kebaikan – Sebagai seorang muslim, setiap perbuatan baik yang dikhlaskan kerana Allah serta menepati syarat yang ditetapkan merupakan ibadah. Oleh itu perbanyakkanlah amal kebaikan. Dengan cara ini, insyaAllah ia mampu mengurangkan masa kita untuk melakukan dosa dan maksiat.

Gabungkan Diri Dengan Rakan Sebaya Yang Baik – Sebagai remaja, pengaruh daripada rakan sebaya amat besar. Rakan sebaya memang mampu membawa kita kearah kebaikan atau kejahatan. Jadi pilihlah rakan yang baik demi membangunkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Jauhilah rakan yang mengajak ke jalan maksiat dan dosa agar diri kita yang lemah ini tidak tersasar.

Aktifkan Diri Dengan Aktiviti Yang Sihat – Remaja adalah golongan insan yang aktif dan sukakan cabaran. Oleh itu, selain memperbanyakkan amal kebaikan, aktiviti sukan, reakrasi, explorasi dan banyak lagi aktiviti yang disukai akan membantu remaja aktif. Keaktifan dengan aktiviti yang berfaedah membantu remaja melupakan niat melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Tingkatkan Ilmu Dari Masa Ke semasa – Ilmu sememangnya salah satu perisai dalam kita memilih antara yang baik dan salah. Tingkatkanlah ilmu dan kemahiran supaya Kecerdasan IQ, EQ dan SQ kita seimbang. Ada banyak program yang saudari boleh ikuti, antaranya program ”ESQ_Teens” yang memberikan pengisian dan ilmu kepada remaja untuk meningkatkan ilmu dan amal kita kearah menjadi insan yang memiliki sifat ihsan, menghayati keenam-enam rukun iman serta.

Baca Selanjutnya »»

Jom HEBOH

Kita Ni Special - Jom Remaja ESQ_RS Kat Penang La Pulak

Assalamualaikum kawan-kawan...

Nak habaq mai, minggu lepaih (26 & 27 Julai 2008) aku dan kawan-kawan attend, "Jom Remaja ESQ_RS". Ni depa suroh aku kongsikan pengalaman aku menghadiri program ni. Pasai next program kat Penang, aku tulih lenggok utara sikit. Hampa buleh faham kot no? Maklumlah adik beradik aku semua ramai kat Penang tau! Hi hi hi..bagi la aku "can" mengayat dalam bahasa utara sikit.

Aku ni, kalau ikutkan hati, malaih nak pergi. Tau la sabtu ahad kan? Membuta lagi baguih! Tapi bila ada kawan mak aku sponsor aku. Malu la pulak kalau aku tak pi. Kawan mak aku tu kata, "Remaja ni special. Korang ni aset negara dan pemimpin masa depan. Kena pergi program ni sebab ia boleh membantu memperbaiki diri".

Kiranya aku pi tu sebab kena "paksa rela" la. Tapi aku cuba la positifkan pemikiran aku ni. Melangkah dengan penuh kepayahan ke Flaminggo Hotel. Tapi bukan maksud aku pi jalan kaki. Mak aku la hantaq. Cuma nak habaq kata, nak pi tu punyalah susah.

Tapi...magiknya program ni. Nak pi pun rasa berat dan payah. Nak balik pun rasa macam tak mau balik la pulak. Pasai best training dia... Masa tu baru aku paham, pasai apa kawan mak aku pujuk sangat-sangat aku pi. Terima kasih Kak Roha sebab sponsor aku. Betui, aku rasa sangat penting dan istimewanya kita ni. Kita ni pemimpin masa depan. Kalau kita tak baiki diri kita dari sekarang, esok lusa tak tau la nak jadi lagu mana masyarakat kita ni.

Aku seriau sungguh tengok cerita-cerita gejala sosial yang ummi Ros, Kak Roha Raudhatus Sakinah tunjuk tu. Nauzubillah. Tak mau la aku jadi lagu tu.

Sebenaqnya, sebelum pi program ni aku selalu tinggal solat. Aku ni kira jenih baik la jugak sebetulnya. Jangan marahhhh sebab puji diri..:-) Tapi, maksiat semua aku tak berani la buat. Tapi bab ibadah solat, puasa...kerap jugak la aku tuang. Ish..ish sejak bila pula aku jujur sangat ni, dok cerita keburukan diri aku sendiri ni.

Azam aku lepaih ni, aku nak baiki ibadah aku. Aku bercita-cita nak jadi pemuda yang soleh. Aku nak jadikan pujaan aku RasululLah. Tak lain dan tak bukan sebab, "Kita ni special". Nak tau apa yang special, hampa attend la sendiri Jom Remaja ESQ_RS kat Penang pada 23 dan 24 Ogos ni, kat Hotel The Summit.

Aku nak ambik kesempatan ni nak ucap terimakasih kat abang Firdaus dan abang Faizi sebab bersungguh-sungguh mendidik kami. Begitu juga pada Kak Roha dan Ummi Ros. Juga pada semualah yang terlibat. Terima kasih banyak-banyak no...ada masa kita jumpa lagi. Wassalam.

Afiq
Alumni ESQ_RS Angkatan (1)

Baca Selanjutnya »»

JomHEBOH

Ku Santuni Anak-Anak Yatim Itu Dengan 165

Kisah ini aku coretkan buat beberapa orang teman yang telah memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit, semata-mata untuk menaja beberapa remaja dari kalangan anak-anak yatim, untuk menghadiri program ESQ_Teens dengan topik, “Jom Remaja ESQ_RS” yang akan diadakan pada 26 & 27 Julai 2008 ini.

Sebagai koordinator program. Aku yakin kalian ikhlas. Namun kuhadiahkan kisah ini sebagai ucapan terimakasih dari kami. Aku mengerti dalam kegawatan kenaikan harga barang dan pelbagai cabaran lain dalam kehidupan kita. Pengorbanan kalian amat besar dan bermakna. Hanya Allah yang berhak memberikan ganjaran sewajarnya.


Untuk teman-temanku yang masih berfikir-fikir, kemana mahu membelanjakan sebahagian dari rezekimu yang murah itu. Hayatilah kisah RasululLah SAW dengan seorang gadis kecil yang yatim.

Walaupun pada hakikatnya kisah kita dan RasululLah saw yang mulia itu, jauh sekali kalau nak dibuat perbandingan. Namun, halusnya budi dan akhlak RasululLah saw terhadap anak-anak yatim adalah sunnah yang beliau tinggalkan untuk dijadikan teladan oleh kita ummatnya.

Hayatilah kisah ini wahai diri yang mengaku cinta dan kasih pada RasululLah Saw.

“Kisah ini terjadi di Madinah pada suatu pagi di hari raya Idul Fitri. Rasulullah saw seperti biasanya mengunjungi rumah demi rumah untuk mendoakan para muslimin dan muslimah, mukminin dan mukminah agar merasa bahagia di hari raya itu. Alhamdulillah, semua terlihat merasa gembira dan bahagia, terutama anak-anak. Mereka bermain sambil berlari-lari kesana kemari dengan mengenakan pakaian hari rayanya. Namun tiba-tiba Rasulullah saw melihat di satu sudut ada seorang gadis kecil sedang duduk bersedih. Ia memakai pakaian yang bertampal-tampal dan sepatunya telah usang.

Rasulullah saw lalu bergegas menghampirinya. Gadis kecil itu menyembunyikan wajahnya dengan kedua tangannya, lalu menangis tersedu-sedu. Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang putih sewangi bunga mawar itu dengan penuh kasih sayang di atas kepala gadis kecil tersebut, lalu bertanya dengan suaranya yang lembut : “Anakku, mengapa kamu menangis? Hari ini adalah hari raya bukan?” Gadis kecil itu terkejut. Tanpa berani mengangkat kepalanya dan melihat siapa yang bertanya, perlahan-lahan ia menjawab sambil bercerita : “Pada hari raya yang suci ini semua anak menginginkan agar dapat merayakannya bersama orang tuanya dengan berbahagia. Anak-anak bermain dengan riang gembira. Aku lalu teringat pada ayahku, itu sebabnya aku menangis. Ketika itu hari raya terakhir bersamanya. Ia membelikanku sebuah gaun berwarna hijau dan sepatu baru. Waktu itu aku sangat bahagia. Lalu suatu hari ayahku pergi berperang bersama Rasulullah saw. Ia bertarung bersama Rasulullah saw bahu-membahu dan kemudian ia meninggal. Sekarang ayahku tidak ada lagi. Aku telah menjadi seorang anak yatim. Jika aku tidak menangis untuknya, lalu siapa lagi?”

Setelah Rasulullah saw mendengar cerita itu, seketika hatinya diliputi kesedihan yang mendalam. Dengan penuh kasih sayang ia membelai kepala gadis kecil itu sambil berkata: “Anakku, hapuslah air matamu… Angkatlah kepalamu dan dengarkan apa yang akan kukatakan kepadamu…. Apakah kamu ingin agar aku menjadi ayahmu? …. Dan apakah kamu juga ingin agar Fatimah menjadi kakak perempuanmu…. dan Aisyah menjadi ibumu…. Bagaimana pendapatmu tentang usul dariku ini?”

Begitu mendengar kata-kata itu, gadis kecil itu langsung berhenti menangis. Ia memandang dengan penuh takjub orang yang berada tepat di hadapannya. Masya Allah! Benar, ia adalah Rasulullah saw, orang tempat ia baru saja mencurahkan kesedihannya dan menumpahkan segala gundah di hatinya. Gadis yatim kecil itu sangat tertarik pada tawaran Rasulullah saw, namun entah mengapa dia tidak mampu mengungkapkan sepatah katapun. Ia hanya dapat menganggukkan kepalanya perlahan sebagai tanda persetujuannya. Gadis yatim kecil itu lalu bergandingan tangan dengan Rasulullah saw menuju ke rumah. Hatinya diliputi kebahagiaan yang tidak dapat dilukiskan, kerana berpeluang menggenggam tangan Rasulullah saw yang lembut seperti sutera itu.
Sesampainya di rumah, wajah dan kedua tangan gadis kecil itu lalu dibersihkan dan rambutnya disisir. Semuanya diperlakukan dengan penuh kasih sayang. Gadis kecil itu lalu dipakaikan pakaian yang indah dan diberikan makanan, juga wang saku untuk hari raya. Lalu ia dibawa keluar, agar dapat bermain bersama anak-anak lainnya.

Anak-anak lain merasa iri pada gadis kecil dengan gaun yang indah dan wajah yang berseri-seri itu. Mereka merasa keheranan, lalu bertanya :
“Gadis kecil, apa yang telah terjadi? Mengapa kamu kelihatan sangat gembira?”
Sambil menunjukkan gaun baru dan wang sakunya gadis kecil itu menjawab:

“Akhirnya aku memiliki seorang ayah! Di dunia ini, tidak ada yang boleh menandinginya! Siapa yang tidak bahagia memiliki seorang ayah seperti Rasulullah?

Aku juga kini memiliki seorang ibu, namanya Aisyah, yang hatinya begitu mulia. Juga seorang kakak perempuan, namanya Fatimah. Ia menyisir rambutku dan mengenakanku gaun yang indah ini. Aku merasa sangat bahagia, dan ingin rasanya aku memeluk seluruh dunia beserta isinya.”

Rasulullah saw bersabda : ”Siapa yang memakaikan seorang anak pakaian yang indah dan mendandaninya pada hari raya, maka Allah SWT akan mendandani/menghiasinya pada hari Kiamat. Allah SWT mencintai terutama setiap rumah, yang di dalamnya memelihara anak yatim dan banyak membagi-bagikan hadiah. Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan melindunginya, maka ia akan bersamaku di surga.”

Jom Remaja ESQ_RS
Nukilan : Nurdinie Sufi

Baca Selanjutnya »»

jomGaleri