jomPROMO ESQ-RS!!



Jom TANYA

Bimbang Terjebak Dengan Remaja Yang Buruk Akhlak




Soalan

Kak Roha,
Sekarang ni, saya bersekolah di sekolah agama rakyat, tetapi, tahun hadapan, mak saya nak pindahkan saya ke sekolah biasa. Masalahnya saya tidak berani masuk ke sekolah biasa. Saya takut terjebak dengan remaja-remaja yang tidak elok akhlaknya. Apa pendapat Kak Roha? Patutkah saya pindah?

Ros,
Ampang



Jawapan

Assalamua’laikum wbt….

Selamat berpuasa dan beribadah Ros,

Bila membaca soalan Ros ini, Kak Roha teringat zaman persekolahan dahulu. Zaman sekolah merupakan zaman yang sangat menyeronokkan. Kita memiliki ramai rakan-rakan dan teman sebaya yang memang menghiburkan. Menangis dan ketawa adalah warna warni dunia persekolahan.

Sekolah seakan-akan rumah kedua kita. Hampir separuh daripada masa kita di sekolah. Kita belajar, bermain, bersosial malah beribadah di Sekolah. Pendekata sekolah sangat penting buat kita.

Membaca soalan Ros ini, fahamlah saya bahawa Ros sedang berhadapan dengan satu masalah yang agak membimbangkan Ros. Dalam hidup tiada manusia yang tidak diuji. Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai ujian. Apabila diuji, kita berusaha mencari penyelesaiannya.

Sebelum terus kepada permasalahan Ros, saya ingin berkongsi pandangan daripada ”Russo dan Shoemaker (1989)” sebagai panduan untuk Ros mengambil keputusan tepat. Berikut ialah sepuluh perkara menurut mereka, yang menjadi perangkap daripada kita mencapai keputusan tepat iaitu :

1. Terus terjun – tergesa-gesa membuat kesimpulan tanpa mengkaji
2. Tidak nampak masalah
3. Gagal mengawal paradigma
4. Terlalu yakin pada penilaian sendiri
5. Akal singkat
6. Meneka tetapi tidak tepat
7. Kegagalan kumpulan dalam membuat keputusan
8. Meremehkan maklum balas
9. Tidak merekodkan pengalaman
10. Tidak menilai semula proses membuat keputusan

Merujuk kepada permasalahan Ros, Kak Roha ingin mencadangkan beberapa cadangan seperti berikut :

1. Kaji kelebihan, kekurangan, peluang dan ancaman – Sebelum membuat keputusan, anda perlu membuat analisa supaya tidak terperangkap ketika membuat keputusan. Salah satu kaedah yang boleh digunakan ketika menyelesaikan sesuatu masalah ialah ”SWOT analysis” dimana S bermaksud ”Strengh” atau kekuatan/kelebihan, manakala W bermaksud ”Weakness” atau kelemahan/kekurangan, O bermaksud ”Oppurtunity” atau peluang dan T bermaksud ”Treat” atau ancaman.

Contoh analisa adalah seperti berikut :

A. Tetap di sekolah sekarang (Sekolah Agama)

Kelebihan
1. Fokus utama pengajian adalah dalam bidang keagamaan
2. Kawan-kawan ramai dan sudah lama bergaul. Sudah kenal akhlak dan hati budi
3. (dan seterusnya)

Kekurangan
1. Mungkin melukakan hati ibu sebab ibu mahu kita bertukar sekolah
2. Tidak dapat bergaul dengan lebih meluas dengan rakan-rakan sebaya yang bukan islam
3. (dan seterusnya)

B. Berpindah ke sekolah baru (seperti yang diminta oleh ibu)

Kelebihan
1. Menggembirakan hati ibu
2. Menemui kawan-kawan pelbagai latarbelakang agama dan bangsa
3. (dan seterusnya)

Kekurangan
1. Pelajaran agama kurang
2. Kadar gejala sosial yang negatif lebih tinggi
3. (dan seterusnya)

Teruskan analisa sehingga puashati untuk mengambil keputusan.

2. Benarkah sekolah biasa lebih ramai rakan-rakan yang rosak akhlaknya – Untuk pandangan ini saya tidak berani memberikan jawapan yang tepat, kerana belum pernah menemui statistik tentangnya. Cuma, saya ingin memberikan sedikit pendapat dalam ruang lingkup pengetahuan dan pengalaman saya. Pada dasarnya, mereka yang memiliki pendidikan agama yang mantap adalah lebih kuat menghadapai cabaran dunia remaja dari masa ke semasa. Namun, pendidikan agama tidak sewajarnya bergantung kepada sekolah semata-mata. Remaja masih wajib diberikan pendidikan agama walaupun di sekolah biasa. Sebab itu, bukan semua pelajar sekolah biasa itu rosak akhlak dan kurang agamanya. Ada ramai yang bagus akhlaknya dan bagus pekertinya.

3. Menghadapi Dunia Realiti – Selagi kita mampu menjauhkan diri dari rakan-rakan yang rosak akhlaknya. Kita larilah. Cuma, dalam hidup kita, kita tidak boleh melarikan diri dengan dunia realiti. Masalah kebejatan sosial berlaku dimana-mana akhir-akhir ini. Kita boleh terus memilih untuk menjauhkan diri dari semua ini atau kita boleh memilih untuk menghadapi cabaran ini dan menjadikan ia satu peluang untuk kita belajar dari kesilapan orang lain. Ini penting supaya kita tidak mengalami kejutan budaya apabila satu hari kita berada di Universiti atau di tempat kerja.

Semoga panduan ini dapat membantu Ros ketika membuat pemilihan antara sekolah agama rakyat dan sekolah biasa.

Roha Hassan

0 comments:


Post a Comment

jomGaleri