jomPROMO ESQ-RS!!



JomSHARING

We Are The Future



Zaman remaja merupakan waktu manusia paling cerdas fizikal dan pemikiran, semangat mencuba yang tinggi, dan kesanggupan tanpa batas dalam mengambil sesuatu risiko. Zaman yang sepatutnya digunakan untuk memanfaatkan kehidupannya dan kehidupan alam sekelilingnya kerana ia adalah jambatan antara alam kanak-kanak dan dewasa.

Rasulullah s.a.w menyebut dengan jelas tentang faedah usia muda, kekuatan serta kesihatan dalam hadith baginda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima keadaan; masa muda mu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kekayaan mu sebelum kefakiran mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu" (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Jika kita fikirkan, masa muda inilah, masa yang paling sesuai untuk memulakan langkah, mencorak kehidupan dan masyarakat. Pada peringkat inilah, seseorang itu mempunyai masa dan tenaga untuk menyumbang pada kebaikan.

Menyumbang dan memberi khidmat adalah menjadi tuntutan masyarakat dan agama. Kita singkap kembali sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w, di mana para pemuda dan pemudi di masa itu giat menyumbangkan khidmat mereka untuk kebaikan agama dan masyarakat.

Contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Saiyidina Ali ibn Abi Talib, Bilal ibn Rabah, Ammar ibn Yasir dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan Saiyidatuna Aisyah, Asma’, Fatimah dan Ummu Salamah. Mereka adalah pemuda-pemudi yang mendukung da’wah Islamiah pada masa itu. Merekalah yang berusaha sedaya upaya untuk kemenangan Islam dan pembangunan masyarakat.

Mereka itulah generasi anak muda Islam yang terpuji akhlaknya. Dengan cinta mereka pada Islam dan kepada Rasulullah s.a.w. mereka berusaha, berkhidmat dan memberikan sumbangan demi kebaikan dan kesejahteraan manusia sejagat. Inilah identiti mereka, identiti golongan muda muslim yang sentiasa inginkan kebaikan.

Bagaimanakah pula kita sebagai golongan muda hari ini boleh berperanan? Berikut ialah beberapa cadangan untuk golongan muda berperanan supaya mereka menjadi aset dan bersedia untuk menjadi pemimpin masa depan;

1. Menuntut ilmu yang bermanfaat dengan bersungguh-sungguh – Ilmu adalah bekalan yang akan membawa kita kearah kegemilangan dan kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. Tanpa ilmu tidak mungkin lahir para pemimpin, golongan profesional, ahli perniagaan, para cendiakiawan yang ada pada hari ini. Ilmulah yang membezakan antara seorang insan dengan insan yang lain. Usia remaja adalah usia yang paling baik untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu melalui sistem pendidikan yang formal, iaitu di sekolah atau tidak formal di rumah, internet dan lain-lain.

2. Melibatkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat – Dengan tenaga yang banyak, golongan remaja memerlukan lebih banyak ruang dan aktiviti untuk menyalurkan tenaga mereka. Salurkanlah kekuatan yang ada dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat contohnya aktif bersukan, menolong ibu bapa dalam aktiviti harian atau pekerjaan, menggabungkan diri dengan persatuan dan kelab remaja dan belia seperti Kelab Remaja JIM, Rakan Muda, Kelab Rakan Siswa dan sebagainya.

3. Mejauhkan diri dari aktiviti yang membinasakan – Kebanyakan aktiviti yang remaja lakukan untuk tujuan mencari populariti, mendapatkan perhatian, keseronokan dan pemberontakan sebenarnya membinasakan diri mereka sendiri. Contohnya terlibat dengan dadah, mungkin untuk tujuan mencuba, terpengaruh dengan kawan atau berseronok tetapi yang musnah adalah diri mereka sendiri. Contoh lain pula ialah terlibat dengan aktiviti seks bebas mungkin sebagai pemberontakan terhadap ibubapa yang sibuk dan berseronok berakhir dengan diri sendiri yang dijangkiti aids atau hamil luar nikah.

4. Berbakti kepada ibu bapa, guru, masyarakat, negara dan agama – Ramai sekali contoh golongan muda yang memberikan bakti kepada negara sejak usia remaja lagi. Contohnya keluarga Sidek yang begitu istiqamah mengharum nama negara di arena badminton satu masa dahulu hingga ke hari ini, Shalin Zulkifli dalam sukan Bowling, Datuk Nicole Davis dan ramai lagi yang tidak tercatat namanya dalam artikel ini. Yang pasti setiap remaja berpotensi untuk berbakti. Berbaktilah kepada mereka yang paling hampir dan memerlukan disekeliling kita.

5. Mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab – Golongan remaja mesti sedar peranan besar yang menanti mereka di masa hadapan. Merekalah yang akan menerajui masa depan negara di masa depan. Sudah tentu persediaan fizikal, mental, emosi dan spiritual mestilah bermula pada hari ini.

~Nurdinie sufi~

0 comments:


Post a Comment

jomGaleri