jomPROMO ESQ-RS!!



jomSEMBANG


Menjadi Popular Adalah Satu Tekanan

Soalan

Beberapa minggu yang lalu saya telah membaca penulisan Kak Roha berkaitan dengan rakan sebaya. Bolehkah Kak Roha memberikan beberapa contoh tekanan oleh rakan sebaya yang boleh dijadikan panduan. Kalau boleh sertakan sekali cara penyelesaiannya.

Nana,
Kuala Lumpur


============================================================
Jawapan
Assalamualaikum wbt…

Saudari Nana,

Selamat berpuasa dan beribadah.

Bercakap tentang tekanan ni, memanglah ada pelbagai jenis. Tambahan pula daripada insan yang terhampir dengan kita, contohnya rakan sebaya. Contoh-contoh tekanan yang dikongsikan di sini hendaklah diterima sebagai langkah kita menjadi rakan yang lebih baik kepada yang lain. Dalam masa yang sama, ia sedikit sebanyak mampu mengukuhkan pegangan kita bila menghadapi cabaran ini.

Diantara contoh-contoh tekanan rakan sebaya adalah seperti berikut:

1. Populariti – Keinginan untuk menjadi popular adalah keinginan setiap remaja. Melihatkan rakan sebaya yang popular di sekolah membuatkan remaja kita tertekan dan irihati. Lebih-lebih lagi populariti itu melibatkan kecantikan dan kemewahan rakan yang lain. Keinginan untuk popular boleh mendorong remaja melakukan apa sahaja. Kadang-kadang perkara yang tidak logik dan memudaratkan. Yang penting mereka jadi popular!

Sikap sesebuah masyarakat amat mempengaruhi populariti remaja. Masyarakat hari ini sering menganggap remaja yang cantik dan cerdik sebagai remaja yang popular. Sudah tentu pandangan seumpama ini akan memberikan tekanan kepada remaja yang kurang cantik dan serba kekurangan.

Dorongan untuk menjadi popular ini boleh mengundang kemusnahan pada remaja sekiranya tidak diarahkan ke jalan yang betul. Keadaan bertambah parah jika ibu bapa, guru dan rakan-rakan membandingkan remaja yang tidak popuar dengan remaja yang popular.

2. Jenama dan kemewahan – Keghairahan menonjolkan gaya hidup mewah dan bergaya banyak memberikan kesan buruk kepada remaja. Disokong oleh papan-papan iklan (”billboard”) yang menghiasi pinggir jalanraya dan lebuhraya membentuk keinginan terhadap gaya hidup bermewah mewah dikalangan remaja.

Dari t-shirt hinggalah ke telefon bimbit, semuanya punya jenama tertentu. Persaingan untuk memiliki telefon bimbit dan pakaian berjenama kadangkala mengundang kepada masalah gejala sosial yang merosakkan. Contohnya mencuri atau melakukan kerja-kerja yang tidak halal asalkan dapat memiliki barangan berjenama dan hidup mewah.

3. Gejala sosial yang merosakkan – Pesanan Syaidina Umar tentang sahabat, ”Tidak ada sahabat yang dapat dipercayai apabila dia tidak takut kepada Allah”. Memiliki rakan-rakan yang cenderung melakukan kegiatan yang tidak sihat adalah satu bencana untuk remaja. Remaja adalah golongan yang mudah dipengaruhi. Berkawan dengan pembohong, kemungkinan besar kita akan jadi pembohong juga. Bertemankan pencuri, lama-kelamaan tidak mustahil kita akan menjadi pencuri di satu hari kelak.

Lebih teruk bila berkawan dengan perokok dan penagih dadah. Tidak mustahil kita pula yang ingin cuba merokok dan menghisap dadah. Aktiviti yang asalnya sekadar suka-suka, akhirnya bertukar menjadi duka.

4. Tidak tahu berkata tidak – Kadangkala ada remaja yang sedar apa yang dilakukan oleh rakan sebaya adalah salah. Sahabat karib sendiri kadangkala tidak mampu ditolak. Permintaan untuk keluar berfoya-foya atau ponteng sekolah sukar ditolak.

Contohnya remaja perempuan yang tidak mampu menolak apabila diajak oleh rakan menemani beliau menemui teman lelakinya. Bermula dari situ, remaja yang asalnya tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh rakannya pula yang akhirnya mempunyai teman lelaki yang kemudiannya terbabit sama dengan dosa dan noda.

Kegagalan berkata tidak terhadap permintaan teman adalah satu tekanan yang sangat besar!

5. Budaya buli membuli – Rakan sebaya yang lebih kuat dari sudut fizikal kadangkala cenderung membuli remaja kita yang agak lemah atau bersaiz lebih kecil. Budaya membuli yang tidak dibendung amat merbahaya dan boleh mengundang maut.

Bayangkan betapa tertekannya remaja kita yang setiap hari berhadapan dengan rakan-rakan sebaya yang mencuri hartanya dan mengugut keselamatannya.


Contoh-contoh diatas hanyalah secebis daripada pelbagai cabaran oleh rakan sebaya. Yang paling penting, kita mesti memiliki kekuatan dan keyakinan diri untuk menghadapi segala tekanan ini.

Berkata tidak adalah sesuatu yang sukar, terutamanya terhadap sahabat karib. Ia satu dilema bukan sahaja terhadap remaja malahan golongan dewasa.

Namun, kebijaksanaan untuk menyatakan tidak apabila perlu banyak membantu remaja membina jatidiri. Remaja yang memiliki jatidiri yang ori (”Original”) atau sejati sukar dipengaruhi dengan anasir-anasir yang kurang sihat.

Walaupun kita sayangkan rakan atau sahabat, tidak perlulah diikuti jejak dan perbuatan salah yang mereka lakukan. Sepatutnya berikanlah nasihat dan peringatan yang baik sekiranya mampu.

Roha Hassan

0 comments:


Post a Comment

jomGaleri