jomPROMO ESQ-RS!!



JomSHARING



Soalan

Saya ni anak sulong dan mempunyai tiga orang adik. Masalahnya saya selalu diberikan tugasan menjaga adik-adik bila saya pulang dari sekolah. Kadang-kadang saya rasa tertekan dengan semua ini. Tambahan pula adik bongsu saya baru berada di TADIKA dan sangat nakal. Memang letih menjaga mereka. Masa saya pun jadi padat hingga kadang-kadang tak sempat mengulangkaji pelajaran.

Apa yang harus saya lakukan. Kadang-kadang saya ingin lari dari tanggungjawab ini. Tetapi tidak sampai hati sebab ibu saya seorang ibu tunggal yang terpaksa keluar bekerja setiap hari. Saya juga sayangkan adik-adik dan ibu saya.

Nurul Shafikah,
Rawang






Jawapan

Salam lebaran untuk Shafikah,
Semoga sentiasa dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah swt

Dilahirkan sebagai anak sulong dan dikurniakan tanggungjawab menjaga adik-adik yang masih kecil memang bukan sesuatu yang mudah. Ia satu pengalaman yang istimewa dan tidak mampu dilalui oleh semua remaja. Keletihan, tekanan, perasaan ingin lari dari tugasan berat ini bukanlah sesuatu yang pelik. Ia pasti akan dirasai oleh mana-mana remajapun, jika mereka melalui pengalaman yang sama seperti adik shafikah.

Betapa beruntungnya ibu yang memiliki anak sebaik Shafikah. Bahkan insan yang memberikan manfaat kepada orang lain amat disukai oleh Allah dan Rasul. Renungkanlah hadis RasululLah saw yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, "Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain"

Begitu istimewa sekali insan yang sentiasa berkorban dan memberikan manfaat kepada insan lain. Bukan sahaja mendapat pengiktirafan dari manusia biasa, malahan dipuji oleh Allah dan Rasul.

Apatah lagi manfaat yang diberikan itu merupakan bakti kepada ibubapa. Menggembiarakan serta meringankan bebanan ibubapa adalah satu amalan dan pengorbanan yang amat mulia.

RasululLah saw bersabda apabila ditanya mengenai amalan yang afdal, baginda menjawab "Pertama, mengerjakan solat. Kedua, berbakti kepada orang tua. Ketiga, jihad fi sabililLah, iaitu berjuang di jalan Allah"

Walaubagaimanapun, untuk terus istiqamah didalam melakukan pengorbanan seumpama ini memerlukan kekuatan dan motivasi.

Berikut dikongsikan beberapa cadangan agar andan dan remaja lain dapat terus berbakti kepada ibubapa dan bermanfaat kepada ahli keluarga, dalam masa yang sama dapat seimbangkan peranan sebagai pelajar.

Perancangan yang teliti – Sebagai pelajar, anak dan kakak, seseorang itu memiliki beberapa amanah dan tugasan yang mesti dilaksanakan. Merancangkan setiap amanah dan tugasan membolehkan kita menyusun keutamaan. Dengan cara ini kita tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri, ibubapa dan adik-adik. Contohnya, amanah sebagai pelajar ialah menyiapkan latihan serta mengulangkaji pelajaran. Manakala amanah sebagai kakak pula perlu menjaga adik-adik ketika ibu keluar rumah.

Pengurusan Masa Yang Berkesan – Perancangan yang teliti tidak akan berjaya tanpa pengurusan masa yang berkesan. Setiap kita diberikan masa selama 24 jam. Tidak lebih atau kurang. Namun ada sesetengah insan mampu melakukan lebih tugasan berbanding insan yang lain. Begitu juga sebaliknya. Contohnya rancanglah bila dan berapa lama mengulangkaji pelajaran, manakala bila waktunya untuk menidurkan adik-adik dan seterusnya. Semasa adik-adik sedang tidur, anda boleh mengulangkaji pelajaran dengan lebih mudah.

Disiplin – Disiplin yang mantap diperlukan agar perancangan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan. Disiplin juga boleh diterapkan pada adik-adik yang lebih kecil mengikut usia masing-masing. Contohnya disiplin waktu belajar, menonton TV, menjaga adik, menolong ibu dengan mengurangkan waktu tidur dan berseronok yang berlebihan. Untuk adik-adik yang sudah bersekolah, mereka boleh didisiplinkan dengan mendidik mereka membasuh pinggan mangkuk atau pakaian sendiri. Dengan cara ini, bebanan kerja rumah dapat dibahagi serba sedikit.



Keseimbangan – Dalam usia muda remaja, keseimbangan amat penting supaya kita tidak tertekan. Keseimbangan yang dimaksudkan disini ialah keseimbangan yang diberikan kepada fizikal, mental, emosi dan rohani (spiritual) kita. Tubuh perlukan rehat dengan makanan yang seimbang, riadah dan tidur yang cukup. Manakala mental dan emosi perlukan pengisian yang menggembirakan dan membahagiakan. Manakala dekatkan diri dengan Allah untuk memantapkan rohani kita.

Bersabar – Untuk melaksanakan semua ini, kesababaran dan ketabahan yang tinggi amat diperlukan. Tanpa kesabaran dan ketabahan yang tinggi, sikap putus asa akan mengusai diri dengan cepat. Diri yang dikuasai putus asa akan mudah merasa letih dan tertekan. Keletihan dan tekanan akan membuatkan kita rasa ingin lari dari segala amanah. Kadangkala ia boleh menyebabkan kita mencari jalan yang salah.

Bayangkan Hasil – setiap pengorbanan pasti ada hasilnya. Begitu juga setiap kesukaran akan diiringi dengan kesenangan. Kemampuan membayangkan kemanisan hasil pengorbanan dan kesukaran hari ini akan membuatkan kita sentiasa bersemangat untuk terus berjuang dan bekerja keras.



Berdoa dan bertawakal – perbanyakan doa dan tawakal. Mohon dikurniakan kekuatan oleh Allah untuk kita terus bermanfaat kepada ibubapa, adik-adik, guru-guru, rakan-rakan, ahli masyarakat dan agama.

Roha Hassan

0 comments:


Post a Comment

jomGaleri