jomPROMO ESQ-RS!!



jomSHARING



Tidak Ikhlas Membantu Rakan

Soalan

Kak Roha,


Saya mempunyai seorang kawan yang cantik dan kaya. Dia sangat popular di sekolah kami. Walaupun cantik, dia agak sombong dan kurang pandai dalam matapelajaran matematik. Saya sebenarnya tidak sukakan perangainya yang sombong, tetapi terpaksa berpura-pura baik dengannya. Sebabnya dengan berbuat baik dengan dia, saya boleh meminjam dari dia macam-macam barang yang saya tidak mampu beli. Lagipun dia kurang mahir dalam matapelajaran matematik, sedangkan saya pelajar terbaik matematik di kelas kami. Saya sering membantu dia menyiapkan tugasan matematiknya dengan perasaan terpaksa dan tidak ikhlas.

Masalahnya, akhir-akhir ini hubungan kami bertambah akrab. Beliau sering memberikan saya hadiah. Saya pula sering menyiapkan tugasan matematiknya. Masalahnya saya rasa bersalah dengan dia kerana tidak pernah ikhlas dalam apa jua bantuan saya kepadanya. Setiap bantuan saya kepadanya mengharapkan balasan dari dia. Mohon nasihat Kak Roha.

Nora,
Meru, Klang


--------------------------------------------------


Jawapan :

Assalamualaikum wbt

Adik Nora,
Terimakasih diatas perkongsian ini.

RasululLah saw pernah bersabda kepada Mu’az bin Jabal, “Ikhlaskan amal itu, cukuplah walaupun sedikit”.

Manakala Syaidina Ali bin Abu Talib karamallahu wajhah pernah berkata: “Jangan susah hati kerana amal yang sedikit, tetapi usahakanlah agar amal yang sedikit itu diterima oleh Allah”.

Kedua-dua peringatan ini menggambarkan betapa pentingnya keikhlasan dalam setiap amalan. Sehinggakan amalan yang sedikit namun ikhlas lebih dipandang mulia bebanding amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas.

Tambahan pula, orang yang kita bantu itu kawan kita yang bukan sahaja tidak menyedari ketidakikhlasan kita malahan bersikap baik tehadap kita.

Keikhlasan dalam pergaulan amatlah penting agar mendapat keberkatan dan berkekalan untuk satu tempoh yang lama. Bayangkan apakah yang akan berlaku jika rakan kita mengetahui ketidakikhlasan kita. Bukankah kita yang akan mendapat malu dan rakan-rakan akan mula menjauh. Walaupun ada perkara yang kita kurang senang tentang rakan kita, kita masih perlu perlu bersikap mulia dalam pergaulan.

Namun, bagaimanakah untuk menerapkan nilai-nilai ikhlas dalam diri kita. Walaupun untuk menjadi insan yang seratus peratus ikhlas bukanlah sesuatu yang mudah, namun kita masih perlu berusaha memupuk sifat ikhlas dalam setiap amalan kita.

Antara langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi kelemahan kita berkaitan dengan nilai ikhlas ialah ;

1. Memahami konsep amal dan ikhlas ketika menerima dan melaksanakan sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Biarpun tugas yang kita lakukan sedikit tetapi penuh pengertian dan keikhlasan akan menjadikan ia satu amal yang diberkati. Bayangkan bagaimana amal yang membuahkan hasil yang boleh kita tuai ketika kehidupan di dunia dan berterusan hingga ke akhirat.

2. Selain itu, bayangkan pula ganjaran yang akan diperolehi di dunia dan akhirat apabila kita ikhlas dalam melaksanakan sesuatu perkara. Lazimnya budi baik akan dikenang selama-lamanya. Tidak rugi berbuat baik penuh ikhlas. Rakan kita gembira, hati kita pun akan lapang dan bahagia. Hayatilah pantun melayu berikut yang begitu popular sebagai peringatan

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik di kenang jua.


3. Nilailah kebaikan rakan kita yang bukan sahaja menghargai apa yang kita lakukan untuknya, malahan memberikan ganjaran sebagai penghargaan. Bayangkan jika kawan kita mengetahui bahawa kita ini bersikap hipokrit. Pura-pura baik dan ikhlas dihadapannya, padahal sebenarnya kita tidak gembira dan ikhlas membantunya. Bayangkan juga jika kita berada di tempatnya. Bagaimanakah perasaan bila rakan-rakan kita hanya membantu tanpa keikhlasan dan mengharapkan balasan semata-mata. Berusahalah untuk mengikhlaskan setiap bantuan kita demi mengukuhkan ukhuwwah dan memantapkan hubungan dengan rakan kita.

4. Selain dari itu, sebaik-baiknya elakkan diri menerima sebarang tugasan atau amanah jika kita merasakan kita tidak gembira atau rasa terpaksa melaksanakannya. Perasaan tidak gembira memang boleh menggugat keikhlasan kita ketika mengerjakan sesuatu pekerjaan. Namun sekiranya sesuatu tugasan itu wajib kita laksanakan dalam keadaan rela atau terpaksa. Suka atau duka, kita mesti memujuk diri kita untuk merasa gembira dan ikhlas melaksanakannya.

Roha Hassan
Setiausaha Kehormat Wanita JIM Pusat


0 comments:


Post a Comment

jomGaleri