jomPROMO ESQ-RS!!



jomSHARING


Dimanakah Dikau Wahai Kawan Yang Setia

Soalan

Kak Roha, saya sering menjadi mangsa tipu daya kawan-kawan. Saya juga sering didustai oleh kawan-kawan. Baru-baru ini kawan yang saya kenali beberapa tahun yang lalu menyebarkan fitnah terhadap saya. Ini bukan kali pertama pula saya ditipu oleh kawan-kawan samada dari sudut janji, wang ringgit, latihan dan buku-buku rujukan. Malahan macam-macam lagi perbuatan kawan-kawan yang tidak menyenangkan.

Saya ingin bertanya pandangan Kak Roha, masih adakah kawan yang setia? Yang ikhlas dan tidak akan mengkhianati kita? Apakah panduan untuk memilih kawan atau sahabat yang baik. Kadang-kadang saya rasa ingin hidup sendiri tanpa kawan-kawan

Lyn,
Kuala Lumpur




------------------------------------------------------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt

Lyn,

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakndanya berkaitan dengan teman ialah, ”Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Dari pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan persanan ini kepada anakndanya, ”Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.

Memang berbeza sekali bandingan diantara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.

Di dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam Al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut Al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :

(1) Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungi mu
(2) Jika engkau rapatkan persahabatan denganya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
(3) Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
(4) Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerimanya dengan baik.
(5) Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
(6) Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
(7) Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
(8) Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
(9) Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
(10) Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu
(11) Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu
(12) Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Manakala Abu Sulaiman Ad-Darani pula berpesan : Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:
(1) Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal dunia
(2) Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

Semoga panduan yang sedikit ini dapat membantu Lyn meneruskan kehidupan seperti remaja yang lain. Teruslah memiliki teman tetapi kali ini dengan lebih berhati-hati serta menjadikan mereka yang mampu membahagiakan kita dunia dan akhirat sebagai kawan. Sudah tentu di dalam dunia ini ada kawan yang setia yang kita temui kelak.



0 comments:


Post a Comment

jomGaleri